
WRUR SELESAI 1,114 ADUAN RAKYAT DI 7 DUN
SERI NEGERI 24 Ogos – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang bermula pada tahun ini membuktikan keberkesanannya dalam menyelesaikan masalah rakyat apabila sebanyak 1,114 aduan telah berjaya diselesaikan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu membabitkan 1,588 aduan yang diterima sepanjang tujuh edisi WRUR membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Pengkalan Batu, Sungai Udang, Lendu, Bemban, Duyong dan Rembia.
“Ini bukti kita mendengar dan bertindak menyelesaikan kegusaran dan masalah yang dihadapi rakyat.
“Pastinya, pencapaian ini adalah hasil daripada kerjasama erat dan gerak kerja bersepadu antara semua jabatan dan agensi kerajaan. Terima kasih semua,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Ucapan Taat Setia Ketua Menteri Melaka pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-76 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, dalam menyantuni rakyat secara holistik dan inklusif, Kerajaan Negeri turut menganjurkan Program Hari EXCO Kerajaan Negeri Melaka Bertemu Rakyat (HEBAT) yang mula diadakan bulan lalu di Seri Negeri.
Jelas beliau, program itu juga berjaya menterjemahkan usaha mendekatkan pentadbiran Kerajaan Negeri dengan rakyat apabila lebih 200 aduan berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang sehari.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.