Sorting by

×

WRUR SEMAKIN DIRASAI RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

REMBIA 16 Ogos – Walaupun pada awalnya ramai yang agak skeptikal terhadap Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang mula diperkenalkan tahun ini, namun setelah beberapa edisi penganjurannya, ia mula menunjukkan impak cukup besar kepada rakyat di Negeri Melaka.

Inisiatif cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi pada Januari lalu dan kini ia memasuki edisi ketujuh penganjuran di DUN Rembia.

Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, inisiatif merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri itu telah menunjukkan kejayaan apabila ia bukan sahaja menyantuni rakyat di segenap pelusuk kawasan, bahkan turut hadir dengan pelbagai inisiatif serta penyelesaian kepada aduan penduduk.

Malah, ujar beliau, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan ke kampung-kampung, WRUR kini mula dirasai rakyat hingga ada yang tertunggu-tunggu kehadiran program itu di DUN masing-masing.

“Saya sendiri telah bertanya kepada masyarakat sama ada mereka sedar kewujudan program ini dan rata-ratanya sudah tahu dan menyambut baik inisiatif santunan rakyat menerusi program turun padang seperti ini.

“Malah, kaedah santunan masyarakat yang dibawa ke DUN-DUN ini juga menarik perhatian ramai kerana ia dipersembahkan dengan cara yang pelbagai iaitu ada yang berkonsep penyelesaian masalah, selain ada juga berbentuk penganjuran program atau pemindahan ilmu kepada masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia berkata demikian ketika wawancara khas bersama Melaka Hari Ini bersempena WRUR DUN Rembia.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, selepas enam edisi penganjurannya, pelbagai penambahbaikan telah dilakukan Kerajaan Negeri bersama semua jabatan dan agensi dalam memastikan tiada lapisan masyarakat tertinggal daripada menerima manfaat menerusi WRUR.

“Kita mahu semua lapiran tidak kiralah pelajar, orang muda, warga emas, masyarakat berbilang kaum, golongan rentan dan begitu juga Orang Asli tidak tercicir daripada menerima tempias program ini.

“Oleh sebab itu, kita menggerakkan kesemua portfolio Exco Kerajaan Negeri kerana di bawah Exco terdapat pelbagai jabatan dan agensi yang dapat membawa pelbagai program dan membantu masyarakat mengikut kesesuaian,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

854
Kongsi :
Previous post WRUR REMBIA DAPAT SAMBUTAN HEBAT
Next post TIGA TABIKA TUNAS ISTIMEWA DI MELAKA, LAMBANG KASIH SAYANG UNTUK ANAK AUTISME