
WTD 2025 SATU PENGIKTIRAFAN BESAR UNTUK MELAKA
SERI NEGERI 24 Ogos – Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 disifatkan sebagai satu pengiktirafan besar kepada negeri bersejarah ini, kata Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Beliau berkata, acara bertaraf dunia itu bukan sahaja akan menaikkan nama Negeri Melaka dalam sektor pelancongan, bahkan turut membawa limpahan rezeki kepada pelbagai pihak termasuk rakyat di negeri ini.
Jelas beliau, antara impak paling ketara adalah kepada sektor perhotelan dan inap desa, di mana tempahan penginapan dijangka akan terus meningkat hasil daripada pertambahan kehadiran pelancong dari seluruh dunia.
Selain itu, menurut Tun Dr. Mohd Ali, limpahan turut dirasai kepada peniaga makanan dan cenderahati yang akan menerima tempias daripada WTD dan WTC 2025 yang berupaya menyebar luas lagi nama Melaka di persada dunia.
“Faedah besar turut diterima dari segi sektor pengangkutan khususnya kepada pengangkutan awam, pengangkutan udara dan air, beca dan lain-lain, selain kenderaan juga akan tertumpu masuk ke Negeri Melaka.
“Pada masa sama, pusat pelancongan dan rekreasi seperti Zoo Melaka, Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, muzium-muzium dan begitu juga taman tema air, kelab golf serta produk pelancongan swasta berasaskan pelancongan agro yang ada di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Wawancara Khas Bersama Melaka Hari Ini bersempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 di Pejabat Yang di-Pertua Negeri, di sini.
Menurut Tun Dr. Mohd Ali, kemajuan sektor pelancongan di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh begitu ketara dan terserlah apabila bukan sahaja menjadi tuan rumah WTD dan WTC 2025, malah turut menjadi lokasi pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Lebih membanggakan, beliau berkata, slogan ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ yang diperkenalkan telah menjadi sebutan seluruh dunia selain dekat di hati rakyat Melaka dan pelancong.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri kerana telah menggerakkan kegiatan pelancongan dengan begitu agresif sehingga berjaya menggamit lebih 15 juta pelancong pada tahun lalu.
“Terima kasih juga kepada badan pelancongan dunia, Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing kerana mengiktiraf Melaka sebagai destinasi pelancongan dunia,” tambah beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.