
WTD2025 PEMANGKIN EKONOMI, BERI IMPAK BESAR KEPADA RAKYAT MELAKA
AYER KEROH 18 Ogos – Penganjuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dari 27 hingga 29 September depan akan melonjakkan lagi nama Melaka sebagai destinasi percutian utama di pentas global.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, manfaat ekonomi daripada acara tersebut juga akan dirasai secara langsung oleh rakyat termasuk dalam sektor perhotelan, perniagaan serta peluang pekerjaan khususnya buat peniaga kecil.
Menurutnya, penganjuran WTD2025 juga secara tidak langsung membantu Kerajaan Negeri dalam mencapai sasaran 16.5 juta pengunjung dan pelancong ke Melaka pada tahun ini.
“Menjelang September, Melaka akan menerima 159 delegasi antarabangsa yang hadir bagi memeriahkan WTD2025 yang akan diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bersempena dengan kehadiran tetamu dunia di Melaka, Kerajaan Persekutuan turut memutuskan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) diadakan di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Bagi Bulan Ogos 2025 Dan Kibar Jalur Gemilang Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.
Bersempena WTD2025, Ab Rauf meminta semua penjawat awam dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar bersiap sedia dengan menaik taraf lokasi strategik, menjaga kebersihan serta memastikan kelancaran trafik sepanjang berlangsungnya acara berkenaan.
“Kita amat bangga kerana Melaka dipilih sebagai lokasi peluncuran VM2026. Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Melaka hadir menyaksikan pelancaran bersejarah ini kerana ia akan disaksikan pemimpin-pemimpin dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.