‘Yakin, berdebar tengok gambar mayat suami’ – Isteri nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

TELOK MAS 20 Jan. – “Luluh hati saya melihat gambar itu, namun saya bersyukur akhirnya jasadnya ditemui,” luah Faradila Sharudin, 35 sebaik dimaklumkan mengenai penemuan mayat lelaki yang dipercayai suaminya, Ahmad Norizan Mohammad, 37, di Pulau Rupat, Indonesia pagi tadi.

Dia ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) berkata, perkara itu dimaklumkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menghantar gambar secara dekat menerusi kiriman aplikasi Whatsapp pagi tadi.

Susulan itu, katanya dia kemudian bergegas ke Balai Polis Tiang Dua kira-kira jam 1 tengah hari tadi bagi membuat pengecaman mengenai pakaian suaminya selain memberikan keterangan lanjut.

“Hati berdebar sebaik melihat gambar berkenaan kerana pakaian yang tersarung pada badan mayat terbabit sama seperti pakaian terakhir yang dipakai suami.

“Malah butiran peribadi termasuk lesen memandu (sebagaimana gambar tular) yang tersimpan dalam poket hadapan seluar milik suaminya juga ditemui bersama.

“Sedih sangat melihat keadaan suami dengan kepala (membengkak) dan rambutnya gugur namun saya cam sangat pakaian yang dipakainya pada kali terakhir keluar rumah 13 Januari lalu, memang sama,” katanya sebak.

Menurutnya, polis bagaimanapun memaklumkan ujian DNA (asid deoksiribonukleik) akan dilakukan oleh pihak berkuasa Indonesia bagi pengesahan sebelum mayatnya dibawa pulang.

“Syukur sangat sekurang-kurangnya dia ditemui dan kalau boleh mayatnya dibawa pulang dengan selamat.

“Selama ini tertanya-tanya tak tahu macam mana keadaan dia,” katanya.

Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan penemuan mayat lelaki lengkap berpakaian oleh pihak berkuasa Indonesia di Pulau Rupat, Indonesia kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali dilaporkan berkata, pihaknya bagaimanapun belum dapat memasikan sama ada ia adalah mayat seorang nelayan Malaysia yang dikhuatiri hilang selepas keluar menjaring di perairan Selat Melaka, berhampiran Pulau Undan sejak 13 Januari lalu.

Kehilangan Ahmad Norizan disedari Faradila selepas keluar menangkap ikan bersama rakannya, Irwan Radjab, 47 di perairan Pulan Undan sejak 13 Januari lalu.

Views:

1289
Kongsi :
Previous post Bertuahnya ‘frontliner’
Next post Polis pantau rapi 12 ‘jalan tikus’ di Melaka
Ubah saiz-+=