Zoo Melaka sasar kenaikan 50 peratus pengunjung pada hujung tahun

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 17 Sept. – Zoo Melaka menyasarkan kenaikan 50 peratus pengunjung menjelang hujung tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Shadan Othman berkata, kenaikan itu disasarkan berikutan pertambahan tiga lagi produk baharu di zoo berkenaan yang dijangka diperkenalkan bermula November.

Menurutnya, antara tiga produk baharu itu termasuklah Dinosaur World, pameran burung peringkat antarabangsa dan kemasukan tiga lagi Orang Utan baharu.

“Dinosaur World kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada November. Pameran dinosaur di zoo ini merupakan yang terbesar di Asia Tenggara.

“Selain itu kita juga ada pameran burung peringkat antarabangsa dan pertambahan tiga Orang Utan baharu yang dibawa dari Bukit Merah Laketown Resort dan A’Famosa Resort.

“Dengan adanya tiga produk baharu ini kita yakin ia dapat menggamit kehadiran pelancong ke Melaka yang mana kita sasarkan akan ada kenaikan 50 peratus jumlah pengunjung pada penghujung tahun ini,” katanya ketika selepas majlis penyampaian hadiah Zoo Treasure Hunt di Zoo Melaka yang diadakan bersempena Hari Malaysia, semalam.

Berikutan pertambahan tiga produk baharu itu, Shadan turut menjangkakan kenaikan harga tiket ke Zoo Melaka.

Bagaimana, katanya, perkara itu masih belum dimuktamadkan lagi sehingga kini.

Mengulas mengenai kehadiran pengunjung selepas sektor pelancongan dibuka semula pada Jun lalu, ujarnya, seramai lebih 60,000 pengunjung telah direkodkan di Zoo Melaka daripada tempoh tersebut hingga Ogos.

“Selepas sektor pelancongan dibuka semula memang kita dapat melihat kenaikan jumlah pengunjung ke Zoo Melaka.

“Pada Ogos sahaja, kita dapat merekodkan lebih 10,000 pengunjung hadir ke zoo ini pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad dan kita jangka ia akan terus bertambah menjelang hujung tahun,” katanya lagi.

Views:

387
Kongsi :
Previous post McPhee intai lebih banyak kejayaan di Litar Dunia Misano
Next post Kampung Kelemak diserang lalat
Ubah saiz-+=