Kampung Kelemak diserang lalat

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

TABOH NANING 17 Sept. – Jabatan Kesihatan Melaka dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri sedang menyiasat dakwaan aduan anggota komuniti Kampung Kelemak berhubung ‘serangan’ lalat yang dihadapi sejak minggu lalu.

EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk kampung berkenaan mengenai kehadiran ribuan lalat yang bukan setakat memenuhi kawasan luar rumah, malah ada yang berjaya menyusup masuk ke dalam rumah.

“Mereka mendakwa kehidupan mereka menjadi tidak selesa dengan serangan ribuan lalat, terutama ketika ingin makan dan meminta agensi kerajaan yang bertanggungjawab menjalankan siasatan.

“Saya meminta pegawai dan kakitangan kedua-dua agensi itu supaya menjalankan siasatan bagi mencari punca kehadiran begitu banyak lalat sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Beliau ditemani pegawai kedua-dua jabatan berkenaan meninjau keadaan anggota komuniti di kampung itu yang terpaksa mengeluarkan kos untuk mendapatkan perangkap lalat akibat tidak tahan lagi dengan serangan berkenaan.

Selain mendapatkan penjelasan daripada anggota komuniti, Rahmad turut meninjau lokasi yang dipercayai dijadikan tempat pembuangan sampah.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada kejadian itu berpunca daripada sektor pertanian atau penternakan yang dimajukan di kampung berkenaan.

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Din mendakwa, kediamannya dan anggota komuniti yang lain diserang ribuan lalat sejak minggu lalu dan keadaan menjadi bertambah teruk apabila cuaca hujan yang menyebabkan udara bergerak perlahan dan jumlah kehadiran lalat meningkat dengan ketara.

Katanya, beliau terpaksa mengeluarkan wang untuk mendapatkan kertas perangkap lalat yang didakwanya dipenuhi lalat hanya dalam tempoh setengah jam, katanya.

Views:

475
Kongsi :
Previous post Zoo Melaka sasar kenaikan 50 peratus pengunjung pada hujung tahun
Next post Warga Paya Rumput bakal dapat gelanggang futsal baharu
Ubah saiz-+=