Warga Paya Rumput bakal dapat gelanggang futsal baharu

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KRUBONG 17 Sept. – Sebanyak tiga gelanggang futsal baharu akan dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput selepas peruntukannya diluluskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, peruntukan berjumlah RM1.05 juta itu diluluskan atas permohonannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan yang mana ia akan melibatkan tiga projek bina baharu dan tiga lagi projek menaik taraf gelanggang futsal sedia ada.

“Dalam kategori projek bina baharu, ia akan membabitkan pembinaan gelanggang futsal berbumbung dan tidak berbumbung di tiga buah lokasi iaitu di Tanjung Minyak, Taman Krubong Permai dan Taman Paya Rumput Permai dengan anggaran keseluruhan projek sebanyak RM900,000.

“Manakala bagi projek baik pulih dengan peruntukan anggaran RM150,000 ia akan melibatkan tiga kawasan iaitu di Taman Cheng Jaya, Taman Krubong Jaya dan Taman Paya Rumput Indah.

“Jadi, jumlah keseluruhan projek ialah sebanyak RM1.05 juta yang mana ia diluluskan hasil permohonan saya selaku ADUN Paya Rumput,” katanya.

Menurutnya, kelulusan itu bukan bermakna kawasan DUN lain di Melaka akan dipinggirkan, sebaliknya beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan akan mengambil kira permohonan-permohonan membabitkan fasiliti sukan di seluruh Negeri Melaka.

“InsyaAllah, dari semasa ke semasa kita akan ambil kira permohonan dari DUN-DUN lain dan akan memanjangkannya kepada perhatian Menteri Belia dan Sukan.

“Ini hanyalah kelulusan pertama, bukan bermakna hanya akan diluluskan di Paya Rumput sahaja, sebaliknya kita akan usahakan di lebih banyak tempat lain dalam negeri,” ujarnya.

Views:

900
Kongsi :
Previous post Kampung Kelemak diserang lalat
Next post Muhyiddin luang masa bersama warga peladang, penternak dan nelayan di Beaufort
Ubah saiz-+=