Pengajaran dan Pembelajaran Atas Talian dalam Norma Baharu

Masa Membaca:3 Minit, 48 Saat
Prof. Madya Dr. Khairul Azami Sidek

PENGAJARAN dan pembelajaran atas talian sudah menjadi norma baharu bagi institusi pendidikan di Malaysia kesan pandemik Covid-19 sejak lebih setahun yang lalu.

Dengan jumlah kes positif Covid-19 yang meningkat saban hari dan tidak menunjukkan trend ia akan berkurangan, kaedah ini menjadi wadah kesinambungan pendidikan di Malaysia yang mengisi kelompongan kaedah pembelajaran tradisi yang lebih tertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.

Baik di peringkat pendidikan rendah mahupun universiti, medium atas talian adalah jambatan ilmu yang baru antara tenaga pengajar dan pelajar.

Bagaimanapun, kemunculan teknologi ini bukanlah perkara baharu dan dahulunya lebih banyak difokuskan untuk menghubungkan orang yang jauh, namun kini ia telah menjadi satu kelaziman dalam menyampaikan ilmu kepada golongan sasar.

Dengan keadaan sedemikian, peranti mudah alih telah menjadi perkakas yang harus dimiliki oleh sesebuah keluarga bagaikan membeli barangan keperluan asas.

Akan tetapi, teknologi atas talian seharusnya dilihat sebagai alat untuk mencapai sesuatu matlamat. Selamanya ia adalah medium bukannya tujuan hakiki.

Maka, dalam senario yang sedia ada, teknologi atas talian menggunakan peranti mudah alih seperti komputer riba dan telefon bimbit digunakan oleh tenaga pengajar sebagai medium untuk menyampaikan sesuatu ilmu dan pada masa yang sama, menjadi platform para pelajar menerima maklumat mengenai sesuatu perkara.

Namun, di sebalik munculnya teknologi seperti ini, pasti ada kelebihan dan kepincangannya. Umpama memegang sebilah pisau, ia bergantung kepada orang yang memegang pisau tersebut, sama ada untuk tujuan yang baik ataupun buruk.

Sebilah pisau boleh digunakan untuk memotong buah-buahan dan sayur-sayuran, sebaliknya, ia juga boleh digunakan untuk mencederakan anggota badan seseorang.

Justeru, ia bergantung kepada niat atau matlamat seseorang itu. Bertitik tolak daripada hal ini, jika dikaitkan dengan teknologi atas talian, wujud pelbagai kelebihan menggunakannya, pada masa yang sama, terserlah ketempangan teknologi yang tersedia.

Antara kelebihan teknologi atas talian adalah ia dapat menghubungkan pelbagai tunjang ilmu mencakupi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar, warna kulit dan keturunan seseorang.

Selagi kita mempunyai capaian rangkaian internet pada peranti mudah alih yang digunakan, selagi itu proses pengajaran dan pembelajaran akan dapat dilaksanakan dan diikuti.

Selain itu, kewujudan teknologi ini juga menuntut para pengajar untuk menjana kreativiti dalam menjadikan bahan pelajaran lebih menarik dan mudah difahami dengan penggunaan komponen audio visual yang bersesuaian.

Dalam konteks ini, ruang lingkup pemikiran tenaga pengajar perlu menjangkaui batasan ruangan bilik darjah sesuai dengan zaman Revolusi Industri 4.0 yang mencabar gerak kerja harian kita.

Cukup menarik juga diketengahkan adalah kepincangan teknologi atas talian kepada golongan pelajar. Walaupun para pelajar didedahkan dengan pelbagai jenis ilmu, tetapi adakah ilmu yang dipelajari mampu mendidik mereka?

Terdapat perbezaan antara perkataan mengajar dan mendidik. Mengajar lebih kepada proses penyampaian ilmu pengetahuan, sementara mendidik lebih kepada membangun watak dan sahsiah.

Dalam erti kata lain, mengajar menjadikan seseorang pelajar itu pandai tetapi mendidik menjadikan seseorang pelajar itu bijak.

Maka, perspektif mendidik lebih menjurus kepada membentuk cara berfikir, perilaku dan peribadi seseorang.

Justeru, sejauh mana teknologi atas talian mampu mendidik jiwa kita harus diteliti.

Kesan jangka masa panjang akibat kehilangan komponen pembangunan watak dan sahsiah harus diambil perhatian oleh semua.

Kebejatan elemen mencorak keperibadian lama-kelamaan akan menjadikan sifat kemanusiaan atau manusiawi luntur.

Menyedari hakikat di atas, pelbagai persoalan timbul kesan penggunaan teknologi dalam talian untuk pengajaran dan pembelajaran.

Apabila kita merungkai perbezaan mengajar dan mendidik, apakah modul sedia ada mampu membentuk sifat kemanusiaan apabila belajar atas talian?

Mengambil kira perkara ini, adakah ianya satu penyelesaian yang efektif dalam jangka masa panjang?

Selain itu, proses penyampaian ilmu kepada penduduk pedalaman di sesetengah negeri di Malaysia juga dikhuatiri terganggu akibat kekurangan infrastruktur capaian rangkaian internet di kawasan-kawasan tersebut.

Natijahnya, jurang digital antara penduduk di bandar dan luar bandar berbanding penduduk di pedalaman semakin melebar.

Ini dibuktikan dengan pelbagai kisah rakyat Malaysia yang menggunakan kaedah mereka tersendiri demi kelangsungan proses pembelajaran akibat pandemik yang melanda.

Maka, diharapkan pihak yang berkenaan dapat menambah baik sistem perkhidmatan capaian internet di kawasan-kawasan yang memerlukan bagi memastikan generasi pemimpin masa hadapan negara terdidik dengan sempurna berbekalkan kemudahan yang memadai.

Daripada penerangan di atas, jelaslah bahawa teknologi atas talian perlu diperkasakan dengan sistem sokongan daripada segi kemudahan dan infrastruktur yang mencukupi, di samping modul atas talian yang berkesan untuk mendidik diri seseorang pelajar untuk membentuk sikap, watak dan peribadi yang baik.

Kita tidak mahu akibat kealpaan pihak tertentu akan menyebabkan lahirnya ‘generasi yang hilang’ (lost generation) iaitu generasi yang kurang daripada segi ilmu dan adab.

Justeru, usaha bersama harus digembleng oleh semua pihak bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran terus berlaku dengan berkesan dan sempurna menggunakan teknologi atas talian.

 

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan,

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Views:

7747
Kongsi :
Previous post Nicol dinobatkan Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia
Next post PM ucap tahniah kepada Nicol dinobat Atlet Terunggul Sepanjang Zaman
Ubah saiz-+=