10 lelaki ditahan dalam serbuan polis di dua calling centre

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Tujuh lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan tawaran kerja menerusi pusat panggilan (calling centre) di sekitar Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata kesemua lelaki tempatan berusia lingkungan 23 hingga 34 tahun itu ditahan di sebuah kondominium kira-kira 3.45 petang.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati pusat panggilan operasi itu menjalankan kegiatan penipuan tawaran kerja yang menyasarkan mangsa di Indonesia secara dalam talian menggunakan platform e-dagang.

“Selain itu, polis turut merampas 20 unit pelbagai jenis telefon bimbit serta tujuh unit komputer riba dan kesemua mereka direman tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pusat panggilan ini boleh menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di 03-89114242 atau menghubungi pegawai penyiasat kes Insp V. M. Tanaseelan.

Sementara itu, polis menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 19 hingga 33 tahun kerana disyaki terlibat kegiatan pusat panggilan di sebuah kondominium di Jalan Yap Kwan Seng, pada kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata pihaknya turut merampas 42 unit perkakas dan peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan itu antaranya empat unit pemprosesan, empat unit monitor, 28 unit telefon bimbit dan sebuah komputer riba.

“Siasatan awal mendapati kegiatan ini, telah beroperasi selama sebulan yang menyasarkan mangsa dari luar negara dan kesemua tahanan berperanan mencari maklumat mangsa melalui Facebook dan maklumat itu disalur kepada satu sindiket lain bagi tujuan penipuan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan kesemua mereka direman selama empat hari sehingga Jumaat ini.

Selain itu, polis menasihatkan pihak pengurusan bangunan dan orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan penipuan secara dalam talian atau kegiatan jenayah dengan menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222, Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2159999 atau balai polis berhampiran.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

865
Kongsi :
Previous post Skim pembiayaan kenderaan komersial diperkenal April ini untuk bantu usahawan
Next post Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga bekas ADUN Rembia
Ubah saiz-+=