10 PBT rangkul anugerah ASEAN Clean Tourist Standard
KUALA LUMPUR, 8 Mac – Sepuluh pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima anugerah ASEAN Clean Tourist City Standard di peringkat ASEAN dan kebangsaan menerusi Anugerah Standard Pelancongan ASEAN 2022-2024.
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata tiga PBT menerima anugerah di peringkat ASEAN manakala tujuh lagi di peringkat kebangsaan.
“Penerima anugerah di peringkat ASEAN ialah Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Muar dan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan.
“Perbadanan Putrajaya, Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Majlis Bandaraya Kuantan, Majlis Bandaraya Miri, Majlis Bandaraya Terengganu, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Majlis Perbandaran Sibu pula adalah penerima di peringkat kebangsaan,” katanya dalam ucapan menerusi tayangan video pada majlis Anugerah Standard Pelancongan ASEAN peringkat kebangsaan 2022-2024 di sini, semalam.
Sementara itu, Nancy berkata seramai 14 penerima Malaysia terpilih menerima anugerah di peringkat ASEAN menerusi empat kategori di Majlis Penganugerahan Standard Pelancongan ASEAN 2022-2024 yang berlangsung di Kemboja, Januari lepas.
Menurutnya, keseluruhannya MOTAC telah menerima 56 pencalonan dengan 29 calon telah melepasi syarat minimum kelayakan menerima anugerah untuk setiap kategori disertai.
“Namun, oleh kerana kekangan kuota yang ditetapkan oleh Sekretariat ASEAN, maka sebahagiannya tidak berpeluang menerima anugerah ini di peringkat ASEAN.
“Justeru, MOTAC mengambil inisiatif menganjurkan majlis ini di peringkat kebangsaan sebagai usaha mengiktiraf penggiat industri pelancongan yang telah memenuhi syarat standard ASEAN,” katanya.
Selain anugerah ASEAN Clean Tourist City Standard, MOTAC hari ini turut menyampaikan anugerah ASEAN Green Hotel Standard, ASEAN Sustainable Tourism Standard dan ASEAN MICE Venue Standard kepada 19 penerima.
Anugerah disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC Mohd Zamri Mat Zain yang mewakili Nancy yang kini berada di Johor untuk urusan rasmi. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.