100 pasar tani seluruh negara kembali beroperasi

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

RIM 15 Sept – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membuka semula 100 daripada 312 pasar tani di seluruh negara, selaras peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Langkah itu membolehkan lebih 4,000 peniaga berkaitan komoditi makanan dapat kembali menjana pendapatan.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Wira Ghazale Muhamad berkata, buat masa ini hanya dua negeri tidak dibenarkan pembukaan pasar tani iaitu Johor dan Kedah yang masih tertakluk kepada Fasa 1 PPN.

Bagaimanapun, beliau percaya, pembukaan itu dapat dilakukan secara berperingkat apabila kes harian COVID-19 terus menurun sedikit masa lagi.

GHAZALE (kiri) melawat ke gerai nurseri yang menjual benih-benih pokok di Pasar Tani Jasin.

“Buat masa ini kita tiada had jumlah gerai, tetapi penetapan gerai yang dibuka mestilah membabitkan tujuh komoditi makanan (sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan dan hasil laut, daging, barangan runcit, barangan asas tani) sahaja.

“Yang sudah dibenarkan beroperasi pun kita masih berhati-hati kerana kita tidak mahu terlampau ghairah sehingga tidak dapat mematuhi SOP ditetapkan.

“Apapun, kita amat berharap pembukaan pasar tani secara berperingkat ini dapat memberi ruang kepada peniaga dan aktiviti perniagaan berasaskan pertanian dapat kembali pulih seperti biasa,” katanya.

PASAR Tani Jasin terpilih menjadi lokasi Pasar Tani Khas Hari Malaysia tahun ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pasar Tani Khas Hari Malaysia di Pasar Tani Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA Abdul Rashid Bahri dan Pengarah FAMA Melaka, Hairudin Yunos.

Dalam lawatan itu, beliau juga menyampaikan kit makanan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain mengagihkan sayur-sayuran dan Jalur Gemilang kepada pengunjung.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

997
Kongsi :
Previous post 10 individu didakwa palsukan sijil suntikan vaksin- KDN
Next post Kementerian Pertahanan bantu kelancaran pembukaan sekolah – Hishammuddin
Ubah saiz-+=