10,585 individu di Melaka terkesan dalam pekerjaan sepanjang COVID-19

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

MASJID TANAH 10 April. – Sekitar 10,585 pekerja di negeri ini terkesan sepanjang pandemik COVID-19 melanda negeri sejak tahun lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, jumlah itu berdasarkan data Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Melaka.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 2,607 pekerja adalah daripada kategori pemberhentian tetap dan 220 orang terbabit dalam pemberhentian sukarela.

TOKOH Selebriti Usahawan, Datuk Rosyam Nor (tengah) turut diundang berkongsi kejayaannya dengan pengunjung pada karnival kerjaya sehari ini.

 

“Selain itu seramai 1,567 pekerja terlibat dalam pemberhentian sementara dan 6,191 pekerja dalam kategori pengurangan gaji.

“Justeru, kerajaan negeri melalui Institut Tun Perak (ITP) dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Kerjaya 3 Daerah Peringkat Negeri Melaka selama sehari yang menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan daripada lebih 30 majikan daripada pelbagai sektor,” katanya selepas merasmikan karnival berkenaan di Kompleks Sukan Masjid Tanah.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Pengerusi Jawankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Manusia, Datuk Wira Ar. Ismail Othman.

PENGUNJUNG menyerbu Karnival Kerjaya 3 Daerah Peringkat Negeri Melaka.

Sulaiman berkata, penganjuran Karnival Kerjaya kali ini didorong kejayaan Karnival Penjana Kerjaya menerusi PERKESO Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 17 dan 18 Ogos tahun lalu.

Katanya, seramai 4,357 orang menghadiri karnival kerjaya itu dengan 1,073 peserta mendapat pekerjaan secara terus, manakala 812 lagi dipanggil untuk ditemuduga kali kedua.

“Justeru Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh untuk menjayakan program ini pada skala yang lebih besar menerusi pendekatan reach-out, supaya lebih ramai rakyat Melaka memperoleh manfaat, berupa peluang pekerjaan daripadanya.

“Lebih mengujakan, usaha kita ini disambut baik oleh ramai majikan, syarikat korporat dan swasta, di mana karnival kerjaya ini berjaya menarik penyertaan lebih 31 majikan dari pelbagai sektor serta industri.

“Kita juga menyediakan pameran lebih daripada 40 agensi dan syarikat swasta, seperti SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia), Tekun Nasional Melaka, SME Bank serta pameran peluang untuk melanjutkan pendidikan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan penyertaan lebih 15 IPT dan pameran pelbagai agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, penganjur juga mengadakan Kursus Keusahawanan selama sehari terbuka untuk orang ramai merangkumi sesi slot khas perkongsian pengalaman bersama Tokoh Selebriti Usahawan, Datuk Rosyam Nor, sesi Persediaan Temuduga, Peluang Penciptaan Pekerjaan: Penjanaan Ekonomi dari Perspektif Unit Trust dan Hartanah serta Success Story Usahawan.

“Kita juga menyediakan ujian psikometrik, kaunseling kerjaya, sesi grooming (dandanan imej) dan cabutan bertuah kepada pengunjung untuk meningkatkan ilmu, potensi dan kemahiran diri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

432
Kongsi :
Previous post 83 sekolah di Masjid Tanah terima tuisyen percuma ‘i-Cerdik’
Next post Malakat Mall pacu ekonomi usahawan Islam dalam peruncitan
Ubah saiz-+=