Sorting by

×

107 persatuan terima GPPK RM1.07 juta – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 30 Oktober – Sebanyak RM1.07 juta disalurkan kepada 107 persatuan penduduk di Negeri Melaka yang layak menerima Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) bagi tahun ini.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam berkata, geran disalurkan menerusi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) itu amat membantu persatuan penduduk berdaftar menjalankan pelbagai aktiviti membabitkan komuniti seperti memerangi jenayah, dadah, denggi, pembersihan serta penyelenggaraan.

Shanmugam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek berkata, meskipun ROS menetapkan hanya 100 persatuan sahaja yang menerima GPPK di Melaka, namun kuota itu ditambah menjadi 107.

“Kuota GPPK di Melaka yang diberikan hanya RM1 juta di mana ROS mensasarkan sebanyak RM10,000 akan diterima oleh 100 persatuan penduduk yang layak di negeri ini.

“Permohonan dibuka pada Julai dan berakhir pada 30 September lalu, namun tarikh tutup dianjak hingga esok. Sebanyak 128 permohonan diterima dan 107  yang layak serta mengikut kriteria ditetapkan ROS telah diluluskan.

“Diharapkan GPPK diterima membantu persatuan menjalankan aktiviti dirancang, namun perbelanjaan perlulah mengikut peraturan dan akta yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup RoS_Care Bil.17/2023 Kursus Asas Pengurusan Pertubuhan, Perkongsian Pintar dan Penyampaian Mock Cheque GPPK di Pejabat ROS Melaka, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah ROS Melaka, Nurhafidah Ali dan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal.

Katanya, pemberian geran pada masa akan datang diharap diperluaskan lagi dan tidak hanya disalurkan bagi kategori persatuan penduduk sahaja agar membawa manfaat yang lebih besar kepada komuniti setempat.

“Seperti tahun lalu empat jenis kategori peruntukan geran diberikan, namun tahun ini ia dikhaskan kepada persatuan penduduk sahaja.

“Apa pun kita berharap, menerusi Geran Pertubuhan Madani yang diumumkan dalam belanjawan tahun hadapan peluang ini dibuka semula kepada semua kategori persatuan supaya ia membawa manfaat kepada golongan terlibat, sekali gus membantu persatuan yang berdaftar ini untuk bergerak ke hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1162
Kongsi :
Previous post Karnival Perpaduan Japerun Duyong eratkan hubungan kaum
Next post MBMB giat laksana pengindahan landskap, pencahayaan
Ubah saiz-+=