1,103 nelayan Melaka selesai terima insentif ‘one-off’ sara hidup

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

TANJUNG BIDARA 5 Disember – Seramai 1,103 nelayan di Melaka menerima bantuan insentif sara hidup secara ‘one-off’ melibatkan peruntukan lebih RM275,000.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan itu diharapkan dapat membantu para nelayan meningkatkan pendapatan dan menjana ekonomi lebih baik pada masa akan datang.

Katanya, Kerajaan Negeri amat prihatin dengan masalah dihadapi para nelayan, penternak dan usahawan termasuk peniaga sektor perikanan.

“Dengan bantuan ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban khususnya dalam meneruskan kelangsungan hidup seharian.

“Pembayaran insentif ‘one-off’ pada hari ini adalah pembayaran keempat atau terakhir bagi 2023, melibatkan keseluruhan nelayan di negeri ini seramai 1,103 dengan implikasi kewangan berjumlah RM275,750.

“Saya difahamkan, bagi daerah Alor Gajah penerima bayaran insentif melibatkan seramai 303 nelayan berdaftar dengan bantuan peruntukan berjumlah RM75,750,” katanya.

Teks ucapan Ab Rauf dibacakan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan yang mewakili beliau ketika menyempurnakan Program Bayaran Insentif Sara Hidup One-Off Fasa Keempat kepada nelayan di Kompleks Japerun Tanjung Bidara di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata Jabatan Perikanan Negeri Melaka dalam perancangan tahun hadapan akan melakukan pemutihan nelayan di ketiga-tiga daerah di Melaka.

“Jabatan itu telah mengenal pasti kebanyakan nelayan berdaftar tidak turun laut secara aktif, tidak mengusahakan sendiri selain sudah mempunyai pendapatan tetap dan ada yang telah meninggal dunia.

“Justeru, pihak kerajaan sentiasa mengharapkan kerjasama daripada nelayan untuk sama-sama membantu Kerajaan Negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1051
Kongsi :
Previous post Mayat dalam kolah: Lelaki warga asing direman seminggu
Next post Keuzuran bapa pembakar semangat Mohamad Haiqal Danial
Ubah saiz-+=