Sorting by

×

11,111 kekosongan jawatan bagi PKP, PRP dan pegawai awam PDRM

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 18 Mac – Polis Diraja Malaysia kini dalam proses untuk mengisi 11,111 kekosongan jawatan Pegawai Kanan Polis (PKP), Pegawai Rendah Polis (PRP) dan pegawai awam daripada keseluruhan 137,628 perjawatan seluruh negara.

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Zaini Jass berkata, daripada jumlah itu sebanyak 9,005 membabitkan PRP, 651 kekosongan jawatan PKP manakala pegawai awam pula 1,455.

“Bagi pegawai rendah, tahun ini kita sedang melatih seramai 5,000 orang dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP).

“InsyaAllah hujung tahun ini kita ada 5,000 anggota mengisi jawatan tersebut, jadi tahun depan kita ada lebih kurang 4,000 lagi kekosongan jawatan dan diharap akan ada pengambilan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Melaka dan Pengerusi Perkep Kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang.

Zaini yakin kekosongan penjawatan tersebut dapat diisi sehingga akhir tahun ini berikutan terdapat anggota dan pegawai yang sedang dalam latihan yang akan mengisi kekosongan tersebut.

“Kekosongan berkenaan tidak menjejaskan penugasan PDRM dalam menjalankan tugas khasnya menjelang pembukaan semula sempadan pada 1 April depan,” katanya lagi.

Terdahulu Zaini menyaksikan serah terima tugas antara Ketua Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali yang bersara wajib kepada Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah yang pemangku jawatan berkenaan.

Abdul Majid memulakan tugas dalam PDRM sejak 27 Dis 1982 dan menamatkan tugas terakhir sebagai Ketua Polis Melaka pada 19 Mac 2022.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3269
Kongsi :
Previous post COVID: Kematian warga emas belum vaksinasi, dos penggalak paling tinggi – KP Kesihatan
Next post UiTM, MARii lancar pusat R&D Satellite Node
Ubah saiz-+=