12 individu dicekup, sindiket penipuan pelaburan kripto tidak wujud tumpas
BANDARAYA MELAKA 20 Mei – Polis Melaka berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud menerusi dua serbuan berasingan di sebuah hotel, di sini, semalam.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, dalam serbuan tersebut pihaknya menahan 12 individu termasuk dua wanita.
Katanya, tangkapan itu melibatkan seorang warga tempatan yang disyaki berperanan sebagai pengurus sindiket dan selebihnya merupakan 11 warga China termasuk dua wanita berusia 30 hingga 36 tahun.
“Bertindak atas maklumat sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menyerbu dua bilik di sebuah hotel sekitar Bandar Melaka.
“Hotel terbabit dipercayai dijadikan markas operasi kegiatan sindiket dan disewa mereka sejak November tahun lalu.
“Hasil semakan awal, pakar media sosial telah mengenal pasti sindiket ini menjalankan penipuan pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang ditawarkan oleh syarikat ‘Pacific Exchange”,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tambah Zainol, siasatan lanjut turut mendapati suspek menyasarkan mangsa seluruh dunia kecuali Malaysia melalui pautan yang diiklankan menerusi laman sosial ‘YouTube’ bagi mempromosikan platform ‘Pacific Exchange’.
“Modus operandi digunakan adalah, suspek akan menyakinkan mangsa bahawa keuntungan akan diperolehi dalam tempoh satu hingga 200 hari berdasarkan pakej serendah dari USD10 hingga USD3,000.
“Bagaimanapun akaun pelaburan mangsa akan ditutup serta merta dan mangsa tidak akan memperoleh keuntungan seperti mana yang dijanjikan setelah pihak sindiket mendapat keuntungan hasil pelaburan yang dibuat oleh mangsa,” katanya.
Mengulas lanjut, Zainol berkata dalam serbuan itu pihaknya turut merampas sembilan set komputer, 30 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua ‘wireless router’ dan tiga kad sim prabayar.
Katanya, kesemua mereka direman empat hari bermula hari ini hingga 23 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.