Projek dalamkan Sungai Lereh akan disegerakan

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

SUNGAI UDANG 20 Mei – Masalah muara cetek yang membelenggu nelayan di Sungai Lereh, Klebang mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan berusaha memastikan isu tersebut diselesaikan dengan segera.

Katanya, peruntukan bagi mendalamkan muara sungai berkenaan telah dimohon di peringkat persekutuan dan kini hanya menunggu kelulusan sebelum kerja-kerja mendalamkan muara itu dilaksanakan.

“Baru-baru ini, saya telah mengadakan lawatan ke Muara Sungai Lereh bersama JPS dan mendapati kali terakhir kerja-kerja mendalamkan sungai itu dilakukan dua tahun lalu dengan kos RM500,000.

“Daripada aduan kira-kira 100 nelayan di kawasan itu, muara berkenaan kembali cetek dan ia menimbulkan kesukaran untuk bot mereka keluar dan masuk.

“Insya-Allah, saya telah meminta JPS agar menyelesaikan masalah ini dengan segera dan jika peruntukan diluluskan, pihak terlibat akan berbincang dengan nelayan di sana mengenai kawasan yang sesuai untuk dibuat pengorekan bagi mendalamkan muara sungai itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Dewan Serbaguna Kem Terendak, di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu pencemaran yang berlaku di Sungai Lereh, Rais memaklumkan pihaknya kini sedang menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Melaka dan Badan Kawal Selia Air (BKSA).

“Pencemaran ini bukan sahaja menjejaskan Sungai Lereh, bahkan ia turut merebak hingga ke Tangga Batu. Ada mendakwa ia disebabkan rumah sampah, namun kita masih menunggu jawapan yang tuntas.

“Selepas mendapat laporan dan kajian lengkap, barulah tindakan boleh diambil memandangkan terdapat akta-akta tertentu di bawah JAS dan BKSA untuk kita menguruskan hal-hal pencemaran seperti ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2027
Kongsi :
Previous post 12 individu dicekup, sindiket penipuan pelaburan kripto tidak wujud tumpas
Next post Selamat tinggal Syawal 1444H
Ubah saiz-+=