Selamat tinggal Syawal 1444H

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

TANJUNG BIDARA 20  Mei –  Proses cerapan anak bulan Zulkaedah menampakkan bayangnya, sekali gus menandakan tamatnya sambutan bulan Syawal tahun ini.

Cerapan menggunakan kaedah hisab dan rukyah dijalankan di Kompleks Falak Al-khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, di sini, sekitar jam 7.15 malam tadi disaksikan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah.

Sambutan diadakan sempena Program Cerapan Langit Malam dan Astro-Tourism dan Himpunan Komuniti Falak Peringkat Negeri Melaka turut dihadiri Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Md Rawi Mahmud.

Abdul Halim berkata, bayang anak bulan Zulkaedah menerusi cerapan pada garis ufuk petang tadi secara rasmi menamatkan Syawal yang berakhir pada hari ini.

“Secara rasminya apabila wujudnya anak bulan Zulkaedah, telah menamatkan Syawal yang diraikan bermakna terputuslah amalan puasa sunat iaitu puasa enam di bulan Syawal.

“Namun, puasa sunat lain boleh dilaksanakan seperti pada hari Isnin dan Khamis, daripada konteks sambutan Aidilfitri yang sinonim dengan amalan kunjung mengunjung boleh diterima dan dilaksanakan tetapi ia bukan di dalam suasana Aidilfitri lagi kerana ia sudah berakhir hari ini.

“Program diadakan kali ini menambah kecekapan dan kemahiran dalam menjalankan tugas harian termasuk beribadat kepada Allah dan mengesahkan data rukyah Jawatankuasa Rukyah Kebangsaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2023-05-20 at 9.24.45 PM
ANTARA proses cerapan yang sedang dilaksanakan kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) menganalisa data si garis ufuk menggunakan teleskop berkomputer di Kompleks Falak Al-khawarizmi, petang tadi.

Terdahulu program bermula sejak pagi tadi menerima sambutan kira-kira 400 penyertaan dalam kalangan peminat falak, pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Pelbagai acara menarik diadakan seperti seminar ilmu falak anjuran Kelab Falak Jabatan Mufti Negeri Melaka, cerapan langit malam, pertandingan astro angkasa serta pelbagai lagi, sekali gus menyuburkan penyebaran ilmu falak dalam industri Astro-pelancongan Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4538
Kongsi :
Previous post Projek dalamkan Sungai Lereh akan disegerakan
Next post Impian miliki rumah sendiri jadi nyata
Ubah saiz-+=