122,606 premis berisiko wabak denggi diperiksa

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 10 Dis. – Sebanyak 122,606 premis berisiko tinggi membawa wabak denggi telah diperiksa di seluruh Melaka setakat 17 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kesemua premis itu telah diperiksa menerusi Ops Tapak Bina, Ops Barang Lusoh, Ops Tapak Semaian dan Ops Lokaliti Wabak yang membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT), Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hasil pemeriksaan tersebut katanya, 157 notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 8, manakala 863 kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

“Premis ini diperiksa kerana didapati berisiko tinggi membawa wabak denggi di negeri ini.

“Mesyuarat Jawatankuasa Wabak Denggi peringkat daerah juga dijalankan bagi membincang dan mengambil tindakan kawalan secara terus bagi isu semasa berkaitan wabak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Tey Kok Kiew (DAP-Banda Hilir) mengenai usaha kerajaan negeri mengatasi masalah denggi di Melaka pada hari kedua Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Seri Negeri, hari ini.

Dalam pada itu Rahmad berkata, sehingga kini sebanyak 65 lokaliti Komunikasi Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Denggi diwujudkan di Melaka bagi aktiviti pencegahan demam denggi.

“Daripada jumlah itu sebanyak 26 Jawatankuasa COMBI di Daerah Melaka Tengah, 19 di Alor Gajah dan 20 Jasin.

“Usaha menggerakkan generasi muda berkaitan demam denggi dan kawalannya juga dilaksanakan dengan kerjasama Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) serta Jabatan Pelajaran Negeri Melaka melalui Program Bebas Denggi Fasiliti,” katanya lagi.

Views:

948
Kongsi :
Previous post Tukar MB tiga kali sejak PRU14, cerminan kegagalan kepimpinan politik – Sultan Nazrin
Next post Caj warisan untuk baik pulih prasarana
Ubah saiz-+=