14 juta dos Sinovac akan dijual

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

SHAH ALAM 21 Julai – Sebanyak 14 juta dos vaksin Sinovac akan dijual Pharmaniaga Bhd kepada syarikat swasta dan negeri yang berminat mulai bulan ini sehingga September, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, penjualan vaksin secara terus kepada pihak yang berminat itu telah mendapat kebenaran Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Usaha itu katanya, diyakini akan mempercepatkan lagi usaha mencapai imuniti kelompok lebih awal daripada yang dirancang.

“Negeri-negeri juga ada berminat mahu beli secara terus, sebagai contoh Selangor telah lama meminta menjual terus kepada mereka.

Tetapi Jawatankuasa ini mempunyai jadual program mereka sendiri, sebab itulah kita belum boleh berikan terus,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri menyaksikan penyerahan kelompok dos terakhir vaksin Sinovac kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba selaku wakil kerajaan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Beliau berkata Pharmaniaga telah berjaya membekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac empat setengah bulan lebih awal daripada jadual kontrak asal.

Pada 19 Julai lepas, kerajaan telah bersetuju untuk pembelian dua juta dos Sinovac lagi, bagi menampung Operasi Lonjakan Kapasiti.

Ismail Sabri berkata senarai syarikat dan negeri yang memohon untuk pembelian vaksin itu akan dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk semakan.

“Mereka boleh membuat tempahan sekarang terus kepada Pharmaniaga, dan akan dirujuk kepada JKJAV kerana nama-nama penerima yang disenarai mungkin duplikasi ataupun telah menerima vaksin,” katanya.

Mengenai kelonggaran yang bakal diberikan kepada mereka yang telah lengkap dua dos vaksin COVID-19, Ismail Sabri berkata perkara itu masih dalam penelitian secara mendalam oleh kerajaan.

“Kemungkinan satu daripada syarat yang kami nak benarkan untuk kilang beroperasi semula adalah apabila pekerja mereka lebih 80 peratus telah lengkap dua dos vaksinasi.

“Apabila kami boleh jual terus vaksin ini kepada kilang-kilang ini, saya percaya bolehlah mereka dibenarkan untuk memohon kebenaran membuka kilang mereka.

“Kami percaya walaupun dua dos telah diberikan namun Kementerian Kesihatan menganggap masih tidak selamat sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya dua dos berserta syarat-syarat lain seperti membuat ujian saringan setiap dua minggu dan sebagainya itu boleh membantu, tapi perkara itu masih dibincangkan lagi,” katanya.

Menurut Ismail Sabri pihak kerajaan juga menerima pelbagai saranan kelonggaran termasuk bagi pasangan jarak jauh yang telah lengkap divaksinasi dibenar merentas daerah atau negeri namun ada juga berpendapat masanya belum sesuai kelonggaran seperti itu diberikan.

“Ada juga pandangan agar membuka perniagaan atau industri yang tidak pernah ada kluster atau memberi kebenaran kepada pelanggan yang lengkap divaksinasi untuk makan di kedai, itu antara pandangan yang kami terima dan sedang dikaji,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

790
Kongsi :
Previous post Kongsi rezeki tidak kira bangsa
Next post Lelaki Bangladesh ditahan bunuh, tanam rakan serumah
Ubah saiz-+=