Kongsi rezeki tidak kira bangsa

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER MOLEK 21 Julai – Seramai 20 pekerja asing beragama Islam di tapak pembinaan Paya Dalam di sini menerima sumbangan daging korban sempena menyambut Aidiladha.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman berkata agihan itu bagi berkongsi rezeki dalam tempoh pandemik COVID-19 tanpa mengira bangsa.

“Tujuan saya adalah berkongsi rezeki, berkongsi rasa dan berkongsi perasaan dalam tempoh pandemik ini.

“Mereka juga saudara Muslim kita dan saya difahamkan mereka tidak mendapat apa-apa daging korban.

“Di Ayer Molek saja lebih kurang 120 ekor lembu dikorbankan, jadi saya ambil inisiatif untuk beri sedikit daging korban kepada mereka supaya boleh merasai suasana Hari Raya Aidiladha,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MHI selepas mengagihkan daging lembu korban di Tapak Pembinaan Paya Dalam petang tadi.

Beliau yang juga Exco Kesihatan berkata pemberian itu sebagai satu penghargaan kepada pekerja asing itu kerana mereka telahpun menjana ekonomi negeri dan negara.

“Alhamdulillah mereka menghargai dan rasa terharu dengan sumbangan ini, mungkin tidak terfikir akan menerima sumbangan daging korban,” katanya.

Terdahulu Rahmad turut mengagihkan daging lembu korban kepada ketua-ketua cawangan DUN Ayer Molek untuk diagihkan kepada penduduk kampung.

“DUN Ayer Molek kita dapat sebanyak 816 pek daging korban, satu pek ada 500 gram daging jadi secara keseluruhan lebih 400 kilogram daging diagihkan.

“Pengagihan telahpun dibuat di Japerun Ayer Molek pada ketua-ketua cawangan untuk diagihkan kepada masyarakat,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

405
Kongsi :
Previous post (KEMASKINI) 16 kematian di Melaka, tertinggi sejak COVID-19 melanda
Next post 14 juta dos Sinovac akan dijual
Ubah saiz-+=