(KEMASKINI) 16 kematian di Melaka, tertinggi sejak COVID-19 melanda

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 21 Julai – Sebanyak 16 kematian akibat COVID-19 direkodkan di Melaka, hari ini, sekali gus menjadi angka tertinggi direkodkan sejak pandemik itu melanda negara.

Angka itu juga merupakan ketiga tertinggi di negara selepas 84 kes di Selangor dan 57 kes di  Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada 16 kes berkenaan, 15 kes merupakan kematian di hospital, manakala satu kes membabitkan kematian di rumah.

Pertambahan itu menyaksikan jumlah kematian di Melaka kini telah mencecah 278 kes.

Mengikut data yang dikeluarkan JKN Melaka, kes kematian tertinggi direkodkan di mukim Bukit Katil dengan lima kematian membabitkan pesakit berumur 43 hingga 85 tahun.

Korban termuda pula ialah seorang wanita berusia 38 tahun dari mukim Bukit Baru yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis.

Daripada 16 kematian, tiga daripadanya merupakan pesakit daripada kluster sedia ada iaitu Kluster Paya Datuk (lelaki 75 tahun) dan Kluster Industri Jalan Usaha Dua (lelaki 43 tahun).

Kluster Industri Teknologi Cheng 22 (lelaki 59 tahun), manakala selebihnya merupakan kontak keluarga dan jangkitan sporadik.

Hari ini, Malaysia mencatatkan 199 kes kematian yang melibatkan 84 kes di Selangor,  Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (57), Melaka (16), Kedah (12), Negeri Sembilan (7).

Masing-masing enam kes di Johor dan Pahang, Terengganu (3), dua kes di Pulau Pinang, Perak, dan Kelantan, serta satu kes di Sabah dan Sarawak.

Ia merupakan kes kematian tertinggi dalam negara pernah direkodkan.

Dalam pada itu, JKN Melaka turut memaklumkan terdapat pertambahan 453 kes positif baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di Melaka menjadi 26,288.

Kontak keluarga menjadi penyumbang terbesar kes harian di negeri ini iaitu sebanyak 236 kes, diikuti kluster kilang (131 kes), saringan bergejala orang ramai (40 kes), tempat kerja bukan kilang (20 kes) dan satu kes dari institusi penjara.

“Sebanyak 212 kes sembuh telah direkodkan dan tiada pertambahan kluster baharu hari ini.

“Sehingga kini sebanyak 4,116 kes masih dirawat di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam dan swasta.

“Daripada jumlah itu, 100 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 29 memerlukan alat bantuan pernafasan,” kata kenyataan itu.

 

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

635
Kongsi :
Previous post Jangkitan kontak keluarga sukar dikawal – Rahmad
Next post Kongsi rezeki tidak kira bangsa
Ubah saiz-+=