140 guru JAIM cemerlang terima APC

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 22 Sept. – Seramai 140 guru Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah diangkat sebagai guru agama cemerlang negeri ini selepas dipilih menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dalam majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan) Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, majlis penghargaan itu diadakan bertujuan untuk memberi penghargaan kepada seramai 2,039 guru JAIM di negeri ini yang telah banyak menabur jasa kepada murid.

“Saya dimaklumkan 140 guru cemerlang ini terdiri daripada 55 guru Sekolah Rendah Agama (SRA) dari Daerah Melaka Tengah, 34 guru dari Daerah Alor Gajah dan 23 guru dari Daerah Jasin, manakala selebihnya guru JAIM di peringkat tadika.

“Semoga anugerah ini dapat menyuntik semangat dan motivasi kepada semua serta dapat dicontohi guru-guru lain untuk terus berbakti di dalam bidang pendidikan di Negeri Melaka khasnya, dan Malaysia amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis berkenaan bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Pengarah JAIM Datuk Md. Azhan Samad dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Hj Md Rawi Mahmud.

Setiap guru JAIM cemerlang dalam majlis itu menerima wang tunai RM1,000 setiap seorang berserta plak penghargaan.

Selain menyampaikan anugerah kepada guru cemerlang, majlis berkenaan turut meraikan seramai 38 guru JAIM yang telah bersara tahun ini.

Dalam pada itu, Noor Effandi yang membacakan teks ucapan Ketua Menteri turut memaklumkan kerajaan negeri sentiasa komited dalam meningkatkan pembangunan syiar Islam di negeri ini demi mewajahkan Melaka Rumahku menuju kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.

Menurutnya, sepanjang 2020 sebanyak hampir RM50 juta telah diperuntukkan untuk belanja mengurus Bahagian Pendidikan JAIM kepada kakitangan dan guru-guru termasuk emolumen, perkhidmatan dan bekalan, aset dan penyelenggaraan.

“Selain itu, MAIM melalui peruntukan Asnaf Fisabililah turut menyalur peruntukan RM4,283,850 kepada Bahagian Pendidikan JAIM merangkumi bantuan elaun bulanan hufaz, bantuan kewangan pelajar tahfiz, institusi tahfiz berdaftar penuh, bantuan IPIS, bantuan Maahad Tahfiz Pulau Besar serta lain-lain pembiayaan dan bantuan,” katanya.

Views:

701
Kongsi :
Previous post Nelayan, wakil syarikat perkapalan berdamai
Next post Pakar akademik bantu lengkapi kriteria UNIMEL
Ubah saiz-+=