149,378 pelajar di Melaka mula sesi persekolahan hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PAYA RUMPUT 21 Mac – Seramai 149,378 murid dan pelajar di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh Melaka memulakan sesi persekolahan 2022/2023 hari ini.

EXCO Pendidikan negeri, Datuk Rais Yasin berkata daripada jumlah itu, seramai 84,619 membabitkan murid sekolah rendah di 238 buah sekolah rendah di negeri ini.

Manakala seramai 64,759 adalah pelajar sekolah menengah yang ditempatkan di 77 buah sekolah.

Jelasnya, bagi murid prasekolah seramai 4,741 murid yang berdaftar di bawah KPM pada tahun ini.

“Bagi sesi persekolahan 2022, KPM turut membekalkan kit kendiri COVID-19 sebanyak 338,092 unit secara berperingkat kepada semua sekolah di negeri ini khususnya digunakan untuk murid yang bergejala,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, hari ini.

Exco Pendidikan, Datuk Rais Yasin mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Paya Rumput sempena pembukaan hari pertama persekolahan sesi 2022. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Rais berkata, bagi sesi persekolahan tahun ini, pihak KPM turut menetapkan pengoperasian sesi persekolahan bagi sekolah rendah dengan sistem bersemuka dan penggiliran.

“Untuk sesi bersemuka, semua pelajar prasekolah, Tahun 1, 2 dan 6 serta semua murid RMT (Rancangan Makanan Tambahan). Manakala penggiliran adalah bagi murid tahun 3, 4 dan 5,” katanya.

Jelasnya, bagi pelajar sekolah menengah harian, semua pelajar akan hadir bersemuka ke sekolah bermula 4 April dan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh dua minggu bermula hari ini.

“Manakala bagi pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) semua pelajar perlu hadir tanpa penggiliran bermula dari Tingkatan 2, 3, 4, 5, 6 dan Pra Universiti.

“Untuk pelajar Tingkatan 1 yang berjaya masuk ke SBP, boleh mengikuti kelas secara PdPR mengikut sekolah penyalur yang ditetapkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sehingga KPM maklum tarikh kemasukan secara rasmi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1318
Kongsi :
Previous post Tujuh cedera kereta rempuh kedai makan
Next post Mohd Ridhwan angkat sumpah Ahli Dewan Negara
Ubah saiz-+=