150 petani ceria nasib dibela

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PANTAI KUNDOR 6 Julai – Seramai 150 petani terjejas banjir dan pandemik COVID-19, di sini, ceria apabila nasib mereka mendapat perhatian kerajaan dan syarikat swasta.

Ia berikutan syarikat pengurusan sisa pepejal Greenviro Solution Sdn Bhd tampil menyalurkan barangan makanan seperti beras, gula dan tepung kepada mereka.

Penyampaian bantuan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan Pengurus Projek syarikat itu, Nik Mustaffa Mohd Noor di Jawatankuasa Penyelarasan dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor, hari ini.

NIK MUSTAFFA menyampaikan sumbangan makanan kepada petani di JAPERUN Pantai Kundor.

Menurut Nor Azman sumbangan itu bukan saja mencerminkan ketinggian budi pengurusan syarikat itu, malah meringankan beban petani akibat banjir dua bulan lalu.

“Petani juga terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain banjir yang merosakkan sawah dan menjejaskan jadual penanaman padi.

“Terima kasih kepada Greenviro Solution yang sebelum ini turut menyediakan sumbangan untuk anggota komuniti pada bulan Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.

Beliau dan Nik Mustaffa sebelum itu menyerahkan barangan makanan itu kepada petani diketuai Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kampung Pengkalan Lanjut, Mustafa Ahmad.

 

MUSTAFA

Sementara itu, Mustafa, 61, berkata, petani terbabit dari beberapa kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor terhutang budi dengan syarikat itu atas bantuan diberikan.

“Kami seperti orang lain yang menerima kesan pandemik COVID-19 kerana tidak mampu menjual padi ke luar daerah akibat PKP.

“Selain itu, akibat banjir dua bulan lalu, sawah seluas kira-kira 60 hektar di kampung kami terjejas dan jadual penanaman kali ini terpaksa ditunda,” katanya.

Bagi Rosli Drus, 50, sumbangan itu sedikit sebanyak mengurangkan bebannya untuk membiayai perbelanjaan keluarga.

Che Kah Montel, 76, pula berkata sebahagian kecil daripada keseluruhan sawahnya seluas 2.8 hektar mengalami serangan makhluk perosak yang menjejaskan kewangannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

829
Kongsi :
Previous post Tiga lagi kematian akibat COVID-19 di Melaka
Next post Sedapnya ‘membawang’
Ubah saiz-+=