Tiga lagi kematian akibat COVID-19 di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 6 Julai – Tiga lagi kes kematian akibat COVID-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 171 kes di Melaka.

Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), tiga kes itu membabitkan kematian dua lelaki dan seorang wanita warga emas di daerah Melaka Tengah.

Katanya, kes kematian pertama melibatkan lelaki berusia 68 tahun di Ujong Pasir yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi serta katarak yang dikesan positif hasil jangkitan sporadik.

“Kes kematian kedua adalah lelaki berusia 73 tahun di Bukit Katil juga jangkitan sporadik mempunyai penyakit darah tinggi dan angin ahmar.

“Satu lagi kes kematian membabitkan wanita berusia 87 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi dan dikesan positif hasil saringan kontak rapat keluarga dari Kluster Jalan Merbok, Ayer Keroh,” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, JKN memaklumkan sebanyak 230 kes direkodkan hari ini dengan 205 kes tempatan, 21 kes dalam kalangan banduan dan empat kes import.

“Bagaimanapun tiada pertambahan kluster baharu dan setakat ini sebanyak 32 kluster masih aktif di negeri ini.

“Kluster Batu Lapan Bukit Rambai yang menular dalam kalangan komuniti hasil berkumpul pada Hari Raya lalu dan Kluster Jalan Semabok hasil jangkitan di pusat servis kereta diisytiharkan tamat hari ini,” kata kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

375
Kongsi :
Previous post Salur bantuan jangan ikut logo parti – MIC Melaka
Next post 150 petani ceria nasib dibela
Ubah saiz-+=