Salur bantuan jangan ikut logo parti – MIC Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 6 Julai – Pemimpin akar umbi di negeri ini dinasihatkan tidak mengutamakan pemberian bantuan kerajaan hanya kepada kroni atau mereka yang menyokong parti semata-mata.

Sebaliknya, Pengerusi Badan Perhubungan MIC Melaka Datuk MS Mahadevan beranggapan bantuan itu perlu disalurkan kepada mereka yang benar-benar dalam kesusahan sejak pandemik COVID-19 melanda negara dan negeri ini.

Katanya lagi, setiap pemimpin masyarakat perlulah menyahut saranan Ketua Menteri yang mahukan tiada rakyat tercicir dalam menerima bantuan kerajaan.

“Dalam situasi sekarang, ramai rakyat yang tengah susah. Ada dalam kalangan mereka yang tidak menyertai mana-mana parti tetapi benar-benar susah dan tidak tahu di mana untuk mendapatkan bantuan.

“Mengapa ia terjadi? Sebabnya segelintir daripada kita hanya mementingkan kroni atau mereka yang menyokong dan mengundi kita sahaja.

“Jadi, janganlah kita tunggu sehingga ada yang benar-benar susah dan terpaksa berlapar baru hendak cari mereka, sebaliknya kita perlu mendahului dalam menghulurkan bantuan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat India Ketua Menteri Melaka berkata, sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, agama dan bangsa perlu dibantu memandangkan cabaran bergelut dengan COVID-19 belum pernah terjadi sebelum ini.

Tambahnya, sekiranya pemimpin menunjukkan keikhlasan dalam menghulurkan bantuan, nescaya sokongan rakyat kepada pemimpin akan kembali kuat.

“Ini bukan masa anda hendak tanya awak sokong siapa atau siapa awak undi. Bantuan itu perlulah diberikan kepada sesiapa sahaja yang terkesan ketika ini.

“Saya percaya jika ini boleh dilakukan, rakyat akan dapat menilai keikhlasan seseorang pemimpin dan mereka akan kembali mendapat sokongan rakyat,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali meminta semua pemimpin akar umbi termasuk Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK), Ahli Jawatankuasa Masjid dan Sidang cakna dengan segala permasalahan rakyat.

Beliau berkata, pemimpin akar umbi perlu peka terhadap nasib rakyat memerlukan kerana ada antara mereka tidak mengetahui maklumat dan inisiatif disalurkan kerajaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

614
Kongsi :
Previous post (EKSKLUSIF) 500 jemaah solat sunat Aidiladha di tujuh masjid- Mufti
Next post Tiga lagi kematian akibat COVID-19 di Melaka
Ubah saiz-+=