15,000 geng motosikal enam negara gamatkan MotoXFest

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

DURIAN TUNGGAL 11 Mei – Kira-kira 15,000 peserta dari pelbagai negara memeriahkan penganjuran Melaka International Motorfest & Scooterfest (MotoXFest).

Program anjuran MK41 Brotherhood melalui kerjasama Panorama Melaka Sdn Bhd itu diadakan di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC), di sini.

Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn Bhd, Masrul Faizal Muhamad berkata, sebanyak 100 acara diadakan pada penganjuran yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.

Katanya, program yang menghimpun peminat sukan permotoran itu bukan sahaja disertai peserta dalam negara, bahkan turut menerima penyertaan peserta dari Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei.

“Dalam penganjuran ini pelbagai acara menarik menanti orang ramai termasuk pameran permotoran dan perlumbaan drag (drag race).

“MotoXFest yang berlangsung dari pagi hingga malam ini mampu menyuntik semangat anak muda yang meminati sukan permotoran untuk berada pada platfrom yang betul dan ini mampu membuka peluang mereka berkongsi minat yang sama antara peserta dari seluruh negara dan rantau Asia Tenggara.

“Program ini juga menawarkan pelbagai hadiah menarik buat pengunjung yang hadir termasuk sebuah motosikal Yamaha X-Max bakal menanti pengunjung bertuah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Perasmian Melaka International Motorfest & Scooterfest (MotoXFest) yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Belia, Sukan dan NGO negeri; VP Shanmugam.

Yang turut hadir, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Zahari Abd Kalil dan Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Tambah Masrul Faizal, sebanyak 20 reruai (booth) daripada syarikat dan jenama terkenal yang menjual barangan motosikal turut menyertai program terbabit dengan menawarkan potongan harga istimewa.

“Pelbagai jenama motosikal ini menawarkan  jualan alat ganti, aksesori serta pelbagai lagi yang boleh didapati dengan harga yang lebih berbaloi berbanding dijual di pasaran,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

426
Kongsi :
Previous post MOT tidak benarkan e-hailing guna sistem ‘bida harga’
Next post JPJ jadi contoh agensi penguatkuasa tolak rasuah
Ubah saiz-+=