JPJ jadi contoh agensi penguatkuasa tolak rasuah

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER MOLEK 11 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahu menjadi agensi penguatkuasa contoh di negara ini yang menitikberatkan amalan bebas rasuah.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, aspek integriti menjadi fokus dan pegangan JPJ dalam menjalankan tugas demi menjaga imej agensi penguatkuasaan pengangkutan jalan utama negara itu.

Oleh sebab itu, ujar beliau, Anugerah Khas Ketua Pengarah telah diperkenalkan bagi menghargai anggota yang telah menjalankan amanah dengan telus dan menolak amalan salah laku.

“Untuk ulang tahun ke-78 kita telah memberikan anugerah khas ini kepada lima anggota JPJ yang bukan sahaja menolak rasuah, bahkan melaporkan salah laku itu sehingga menang kes terbabit.

“Ini amat membanggakan dan kita mahu menjadikannya sebagai contoh supaya anggota JPJ menjalankan tugas dengan baik dan telus serta menghindarkan imej negatif.

“Inilah yang sangat kita titik beratkan kerana dengan penguatkuasaan yang berintegriti, ia secara tidak langsung dapat menaikkan semangat dan motivasi anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-78, Digitalisasi Memacu Profesionalisme JPJ di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Tiang Dua, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah; Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Pengangkutan Malaysia Dr. Nor Fuad Abd Hamid; Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia Datuk Rospiagos Taha dan lain-lain kenamaan.

Lima penerima Anugerah Khas Ketua Pengarah itu adalah Norazman Annuar, Mohd Irwan Mohd Subar, Muhammad Farhan Abd Mutalib, Ahmad Zaid Kamarul Awang dan Muhammad Nur Hakim Mohd Razip dari JPJ Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Anthony dalam ucapannya berkata, sambutan Hari JPJ Ke-78 tahun ini memperkenalkan tema Digitalisasi Memacu Profesionalisme JPJ yang mana ia selari dengan era globalisasi dan digitalisasi yang menuntut pembentukan landskap baharu dalam perkhidmatan awam.

Jelas beliau, menerusi inisiatif pendigitalan, JPJ telah mengorak langkah memperkenalkan Lesen Kenderaan Motor Digital (eLKM) dan Lesen Memandu Digital Malaysia (eLMM) menerusi aplikasi MyJPJ yang boleh diakses secara dalam talian melalui telefon pintar bermula 10 Februari tahun lalu.

Aplikasi berkenaan, menurutnya telah diakses lebih sembilan juta pemegang lesen memandu setakat 10 Mei tahun ini.

“Merujuk kepada peningkatan angka pengguna, saya dengan sukacita mengumumkan satu lagi pertambahan inisiatif melalui aplikasi MyJPJ iaitu gerbang pembayaran internet terus ke bank atau FPX bermula 1 Jun tahun ini.

“Ini akan memudahkan pembayaran dalam urusan memperbaharui eLKM dan eLMM menggunakan akaun simpanan dan semasa yang mana ia dapat menjimatkan masa dan kos, selain mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter JPJ,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

320
Kongsi :
Previous post 15,000 geng motosikal enam negara gamatkan MotoXFest
Next post Karnival Kita Madani dekati komuniti setempat
Ubah saiz-+=