1,551 pelajar ‘tidur’ di 25 muzium seluruh negara
DUYONG 22 September – Program Bermalam di Muzium kini kembali dengan penyertaan seramai 1,551 peserta di 25 buah muzium seluruh negara.
Program itu membabitkan seramai 751 pelajar lelaki dan 800 pelajar wanita berbilang kaum.
Ketua Setiausaha Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim berkata, program itu merupakan inisiatif kementerian menerusi Jabatan Muzium Malaysia merakyatkan muzium seterusnya memupuk apresiasi tinggi terhadap ketamadunan bangsa dan negara.
Katanya, program yang bermula sejak tahun 2005 di Muzium Negara mendapat penyertaan menggalakkan dengan ‘trend’ peningkatan penyertaan setiap tahun sebelum dihentikan sementara ekoran COVID-19.
“Inilah cara kita mendekatkan anak muda dengan sejarah bermula dari sekolah kerana subjek ini sering menjadi isu apabila ia dilihat tidak lagi menarik bagi para pelajar.
“Turut bersama fasilitator-fasilitator daripada Intitusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta yang menunjukkan semangat dalam menjayakan program ini.
“Kita amat menyokong usaha ini malah kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sangat baik apabila mereka mengeluarkan pekeliling bahawa setiap pelajar diberi kebenaran melawat muzium sekali setahun dan bermalam di muzium ini adalah salah satunya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Program Bermalam di Muzium di Muzium Hang Tuah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Zaidi Attan dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.
Dalam pada itu, Noridah turut mengalu-alukan kerjasama atau sinergi bersama agensi-agensi kerajaan, swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) mahupun pihak sekolah bagi menganjurkan program berbentuk pembudayaan sejarah.
“Kita lebih terbuka bergerak bersama kerana tidak mustahil jika kita berusaha lebih lagi memikirkan kaedah bagaimana kita mahu posisikan dahulu muzium ini dekat dengan rakyat.
“Hasrat Kementerian Perpaduan Negara adalah untuk menjadikan sumber utama sejarah di bawah tiga institusi muzium, arkib dan perpustakaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.