17 mayat ditemukan di kawasan banjir di Selangor

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SHAH ALAM, 21 Dis – Korban banjir di Selangor kini meningkat kepada 17 orang termasuk seorang sukarelawan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata setakat 8 pagi ini, 10 mayat ditemukan di Daerah Klang, tiga di Hulu Langat dan empat di Sepang.

Beliau berkata punca kematian mereka sedang dikenal pasti sama ada disebabkan banjir atau faktor lain seperti mati akibat kekurangan ubat dan sebagainya.

“Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang kehilangan mereka yang tersayang,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Susulan itu Amirudin berkata kerajaan negeri akan menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang kehilangan nyawa disebabkan tragedi itu dan RM1,000 kepada setiap keluarga yang terkesan akibat bencana banjir itu.

Beliau berkata sehingga 8 pagi tadi, seramai 30,632 mangsa dari 4,672 keluarga ditempatkan di 203 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Selangor.

“Angka sebenar mangsa dijangka meningkat disebabkan beberapa daerah masih menunjukkan peningkatan paras air iaitu di Kuala Langat, Kuala Selangor, dan Sepang serta mangsa-mangsa yang berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat termasuk di Taman Sri Muda, Kampung Baru Hicom serta Bukit Changgang.

Selain itu katanya ada mangsa yang memilih untuk tinggal di kediaman masing-masing dan mereka telah dimaklumkan segala risiko namun penduduk mengambil keputusan untuk tinggal di kediaman masing-masing kerana dirasakan masih lagi selamat.

“Oleh itu selain usaha mengeluarkan mangsa banjir, kita memberi sumbangan bakul-bakul makanan untuk mereka masak untuk tempoh beberapa waktu,” katanya.

Sementara itu katanya Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit akan diwujudkan sebagai platform kepada rakyat Malaysia terutama syarikat swasta, individu dan syarikat berkaitan kerajaan untuk menyumbang kepada pemulihan kawasan yang terjejas dengan musibah banjir.

“Sebagai komitmen awal, saya akan menyumbang sebulan gaji saya kepada tabung ini sebagai tanda permulaan proses pemulihan,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1344
Kongsi :
Previous post Lenggong and Labuan recognised as national geoparks
Next post Osman Sapian meninggal dunia
Ubah saiz-+=