17 sekawan dikompaun RM51,000 sakan ‘private party’

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 11 Sept. – Dua perempuan antara 17 yang ditahan kerana terlibat dalam penganjuran aktiviti tidak bermoral atau ‘private party’ di sebuah kondominium di persisiran Sungai Melaka malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, kesemua mereka warga tempatan berusia di antara 17 hingga 35 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) kira-kira jam 11 malam selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, siasatan mendapati kesemua mereka menyewa kondominium terbabit dengan harga RM450 sehari bagi menganjurkan parti termasuk mengambil minuman keras di dua unit kondominium berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman

“Kesemua 17 orang yang ditahan telah dibuat ujian saringan air kencing dan didapati seorang daripada mereka iaitu remaja 19 tahun positif dadah jenis Methamphetamine.

“Setiap mereka dikenakan kompaun RM3,000 seorang di bawah Peraturan 16 PU(A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 menjadikan keseluruhan kompaun berjumlah RM51,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Sukri berkata, kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan Negeri Melaka dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Merbahaya 1952.

ANTARA 17individu yang ditahan polis dalam penganjuran ‘private party’ di sebuah kondominium di Bandaraya Melaka malam tadi.

Tegasnya, Polis Melaka sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan tegas di atas sebarang penganjuran aktiviti tidak bermoral seperti ‘private party’ di negeri ini.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menganjurkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang sentiasa prihatin menyalurkan maklumat bagi membanteras jenayah daripada terus berlaku,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1874
Kongsi :
Previous post Parlimen bakal saksikan lebih banyak transformasi
Next post PN akan kembali bangkit pada PRU-15 -Muhyiddin
Ubah saiz-+=