17 SJR di Melaka bermula esok sehingga tamat PRN
AYER KEROH 6 NOV- Polis Melaka akan melaksanakan 17 Sekatan Jalan Raya (SJR) di semua pintu sempadan negeri bermula esok sehingga tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata kesemua SJR dilaksanakan bagi memastikan tiada golongan pengundi hantu atau golongan antivaksin masuk ke negeri ini.
Katanya, SJR akan turut dilaksanakan di kesemua jalan-jalan tikus di negeri ini.
“PDRM siap sedia menghadapi PRN Melaka, dan pihak polis akan memastikan semuanya berjalan lancar, jadi sebanyak 17 lokasi SJR akan dibuka esok termasuk di jalan-jalan tikus dan perairan.
“SJR ini turut dibuka bagi memastikan tiada orang-orang berkenaan masuk ke Melaka seperti golongan tidak mengambil vaksin dan ‘alien’ (pengundi hantu) yang tidak berdaftar di Melaka tetapi datang ke Melaka untuk mengundi,” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja Op PRN Melaka di IPK Bukit Beruang, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali dan Timbalannya Datuk Razali Abu Samah.
Mengulas lanjut, Hazani turut menasihati orang ramai untuk keluar mengundi dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) kerana masih dalam keadaan pandemik COVID-19.
“Nasihat saya, keluarlah mengundi dan jaga diri sndiri serta orang sekeliling kerana kita masih lagi berada dalam pandemik belum lagi endamik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.