Polis mohon warta zon larangan dron sepanjang PRN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 6 NOV- Pihak polis akan memohon perintah mahkamah bagi mewartakan zon larangan penggunaan dron sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata, permohonan mahkamah itu akan dilaksanakan pada minggu hadapan menjelang hari penamaan calon pada 8 Nov ini.

Tambahnya, penggunaan dron dibolehkan namun perlu mendapatkan permit terlebih dahulu.

Katanya, dalam perbincangan dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini, terdapat cadangan untuk melarang penggunaan dron sepanjang PRN.

“Kami bincang juga tadi mungkin sepanjang tempoh PRN ini, kita akan mohon dengan pihak mahkamah untuk mewartakan zon larangan menerbangkan dron di Melaka.

“Isnin ini, jika kita dah dapat sahaja arahan mahkamah untuk tidak benarkan dron diterbangkan, memang tidak bolehlah terbangkan dron,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja Op PRN Melaka di IPK Bukit Beruang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali dan Timbalannya Datuk Razali Abu Samah.

Mengulas lanjut, Hazani berkata, cadangan mewartakan larangan itu dibuat selepas melihat daripada pelbagai sudut kesannya terhadap kententeraman awam semasa PRN Melaka.

“Dron ini boleh jadi satu ancaman, boleh wujudkan provokasi sebabnya dron boleh bawa senjata, tak kiralah gas beracun ke atau cecair yang boleh menyebabkan melecur.

“Ia juga boleh buat ‘crash landing (terhempas)’ terhadap kumpulan-kumpulan tertentu yang mungkin disebabkan tak puas hati atau sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, terdapat peraturan-peraturan itu yang membolehkan dron diterbangkan termasuk mendapatkan permit daripada pihak berkuasa termasuk Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Jika masih ada pihak yang menerbangkan dron secara haram, pihak polis ada kepakaran dan cara untuk menurunkan dron berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

526
Kongsi :
Previous post Remaja dikhuatiri lemas di Pantai Puteri
Next post 17 SJR di Melaka bermula esok sehingga tamat PRN
Ubah saiz-+=