1,912 calon simpanan doktor kontrak dilantik ke jawatan tetap – KKM

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

PUTRAJAYA, 10 Okt – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) meluluskan pelantikan tetap 1,912 calon simpanan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi pada 25 dan 26 Sept lepas bagi mengisi baki kekosongan jawatan berkenaan.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kelulusan itu melibatkan sejumlah 1,226 calon simpanan pegawai perubatan, 216 calon simpanan pegawai pergigian dan 470 calon simpanan pegawai farmasi.

“Pelantikan ini selaras dengan baki kekosongan sedia ada dan kelulusan perjawatan tetap oleh agensi pusat pada 2023,” menurut kenyataan itu.

KKM menjelaskan urusan tawaran pelantikan tetap dan penerimaan tawaran oleh calon simpanan itu sedang dilaksanakan menerusi Sistem Tawaran Pelantikan SPA (MySTP SPA) dalam tempoh 21 hari bermula pada 2 Okt lepas.

Bagi memastikan ketelusan dalam pelaksanaan, KKM memaklumkan semua calon diberi ruang untuk memilih sendiri penempatan secara dalam talian menerusi sistem e-placement iaitu sistem e-housemen untuk pegawai perubatan, sistem e-dentist untuk pegawai pergigian dan sistem e-pharmacist untuk pegawai farmasi.

“Berdasarkan kepada pengisian semasa, jumlah kekosongan jawatan di Lembah Klang dan wilayah tertentu adalah sangat terhad,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, KKM memberitahu pegawai termasuk pasangan yang berkhidmat dalam satu daripada perkhidmatan berkenaan boleh merancang dan memilih penempatan di luar Lembah Klang termasuklah memilih penempatan di kawasan luar bandar dan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Pemilihan penempatan di luar Lembah Klang juga mempunyai kelebihan dari segi kos sara hidup, pegawai boleh mendapat insentif seperti Bayaran Insentif Wilayah dan pegawai boleh mendapat pengalaman kerja yang berbeza,” menurut KKM.

Pemilihan penempatan adalah diwajibkan bagi tujuan pengesahan melapor diri bertugas dan tawaran pelantikan tetap akan terbatal sekiranya tiada pemilihan penempatan dibuat dalam sistem e-placement.

Tarikh pilihan penempatan bagi pegawai perubatan bagi sesi pertama bermula 9 hingga 11 Okt dan sesi kedua pada 12 hingga 14 Okt, manakala pegawai pergigian pula pada 9 hingga 11 Okt dan pegawai farmasi pada 16 hingga 19 Okt.

KKM menyatakan selaras dengan keprihatinan terhadap kebajikan pegawai, saluran untuk rayuan menerusi google form turut disediakan khusus bagi calon simpanan yang sedang mengikuti pengajian kepakaran, berjauhan dengan pasangan atau mengalami masalah kesihatan yang serius.

Bagi calon yang menghadapi masalah kesihatan serius, semakan silang akan dilaksanakan dengan laporan pemeriksaan kesihatan yang dikemukakan dalam sistem MySTP bagi menentusahkan tahap dan status kesihatan.

“Calon akan menerima pemakluman penempatan di peringkat fasiliti daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mulai 14 Nov ini. Tarikh lantikan tetap calon adalah berkuat kuasa pada tarikh lapor diri bertugas iaitu 18 Dis ini,” menurut KKM.

Rayuan dibuka pada 9 Okt bagi pegawai perubatan dan berakhir 20 Okt melalui pautan google form https://forms.gle/omQApUGFy6ij9AGv9 dan bagi pegawai pergigian bermula 9 hingga 18 Okt di https://forms.gle/TibeMztWurwf3sr68.

Sementara itu, rayuan bagi pegawai farmasi bermula 16 hingga 25 Okt menerusi https://forms.gle/Yyx2Jj46HP16riwr7.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

840
Kongsi :
Previous post Bukit Rambai rekod IPU lebih 100
Next post ‘Kisah Kebaya’ cerita tentang evolusi busana kebaya
Ubah saiz-+=