‘Kisah Kebaya’ cerita tentang evolusi busana kebaya

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 10 Oktober – Orang ramai diajak untuk mempelajari keunikan kebaya menerusi program Kisah Kebaya ‘Evolusi Busana Merentas Sempadan’ berlangsung dari pada 12 hingga 14 Oktober ini di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka.

Pengarah JKKN Melaka Ezlina Elias berkata, pihaknya menjangkakan penganjuran program itu mampu menarik sehingga 2,000 orang pengunjung.

Katanya, penganjuran itu juga membantu memelihara dan mengekalkan seni budaya khususnya kesedaran terhadap evolusi busana kebaya dalam kalangan generasi muda.

“Kisah kebaya turut mengetengahkan pelbagai aktiviti berteraskan seni budaya, warisan, keilmuan, keusahawanan, gaya hidup (fesyen) dan mencunkil bakat dalam kalangan anak muda Negeri Melaka.

“Himpunan aktiviti seni dan budaya ini akan memudahkan para penggiat seni, karyawan, serta semua pihak yang berkaitan dalam bidang seni budaya atau pelancongan kerana program ini secara tidak langsung mewujudkan satu rangkaian ekosistem.

“Antara pengisian program adalah pameran, jualan produk kebaya dan demonstrasi, wacana kisah kebaya dan bengkel seri kebaya pada 13 Oktober (Jumaat), pertandingan melukis figura Ratu Kebaya Kategori Awam pada 14 Oktober (Sabtu) dan banyak lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Kisah Kebaya merupakan program anjuran Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), JKKN Melaka, Jabatan Warisan Negara Zon Selatan, Pertubuhan Seni Kesidang Sari (PERSIDANG), Kumpulan Pelukis Negeri Melaka serta Kerajaan Negeri Melaka.

Sementara itu, Presiden MTA Madelina Kuah memaklumkan, pengisian Kisah Kebaya turut membabitkan pertandingan peragaan kebaya bagi kategori remaja iaitu ‘Miss Grand Kebaya Remaja’ pada 14 Oktober.

“Kemuncak acara Kisah Kebaya ialah pertunjukan Fesyen Muzikal Kisah Kebaya dan monodrama ‘Kebaya Tidak Berkerongsang’ yang mengetengahkan berapa bakat anak seni Melaka seperti Shree May, Neena, Noor Haza Badleshah serta Nurul Umi Nekmat.

“Fesyen muzikal ini akan membawakan empat kisah berteraskan kebaya sebagai apresiasi dalam terjemahan yang berbeza karya Eri Majid pada hari yang sama jam 8.30 malam.

“Manakala perasmian akan disempurnakan oleh isteri Yang dipertua Negeri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman bersama isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Zuriyah Abdul Aziz,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1563
Kongsi :
Previous post 1,912 calon simpanan doktor kontrak dilantik ke jawatan tetap – KKM
Next post Pertandingan pantun diperluas sehingga ke SJK Cina dan Tamil utuhkan perpaduan kaum
Ubah saiz-+=