Sorting by

×

Pertandingan pantun diperluas sehingga ke SJK Cina dan Tamil utuhkan perpaduan kaum

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

SUNGAI UDANG 10 Oktober – Penganjuran pertandingan pantun selepas ini akan diperluaskan dalam kalangan peserta bukan Melayu, bagi menyuburkan lagi semangat perpaduan pelbagai kaum di Negeri Melaka.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, pantun yang menyemai mesej perpaduan selepas ini diharap disertai lebih ramai murid daripada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

Jelasnya, tanpa disedari pantun sebenarnya adalah simbolik yang menggambarkan kepada keutuhan perpaduan kaum di Negeri Melaka sejak berzaman lagi.

Katanya, suatu ketika dahulu pantun popular dalam kalangan semua kaum dan tidak terbatas kepada orang Melayu semata-mata, malah ia juga sinonim dengan masyarakat Baba dan Nyonya.

“Kita akan pastikan di setiap sekolah Cina mahupun Tamil di Melaka akan disuntik dengan semangat berpantun dalam Bahasa Kebangsaan menerusi penganjuran pelbagai pertandingan selepas ini.

“Kita akan berbincang bersama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berhubung perkara ini untuk menggalakkan penyertaan sekolah SJK Cina dan Tamil dalam pertandingan pantun.

“Setakat ini dalam pertandingan yang diadakan di Melaka ia hanya membabitkan penyertaan Sekolah Kebangsaan sahaja dan kita akan pastikan pada masa akan datang ia akan diperluaskan untuk mengangkat lagi martabat pantun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kembara Perpaduan Pantun Perpaduan Peringkat Negeri Melaka 2023 diadakan di Sekolah Menengah Sains Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri, Intan Suhana Yusuff serta tetamu lain.

photo_2023-10-10_15-13-46
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem hadir ke Majlis Perasmian Penutup Pantun Perpaduan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023 di Sekolah Menengah Sains Alor Gajah. Turut bersama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Negeri Melaka, Intan Suhana Yusuff. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pertandingan diadakan sejak awal pagi tadi membabitkan 11 pasukan mewakili lapan sekolah buah sekolah seluruh Negeri Melaka bagi merebut gelaran juara yang membawa pulang hadiah RM1,500 berserta sijil dan trofi.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, penganjuran pertandingan pantun bertemakan perpaduan wajar dilaksanakan secara berterusan bagi menyuntik semangat kenegaraan dalam kalangan murid dan pelajar.

Menurutnya, Kerajaan Negeri mahu memastikan matlamat untuk melahirkan rakyat yang cintakan negara dicapai dan ia perlu membabitkan kerjasama semua pihak termasuk JPNIN menerusi pelbagai program termasuk pertandingan pantun.

“Pelaksanaan program ini diharap dapat menarik lebih ramai pelajar untuk didedahkan dengan budaya warisan negara yang seharusnya dikekalkan sepanjang zaman seperti membudayakan pantun dalam hidup mereka,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1286
Kongsi :
Previous post ‘Kisah Kebaya’ cerita tentang evolusi busana kebaya
Next post 50 peratus sekolah di Melaka tubuh Kelab Rukun Negara
Ubah saiz-+=