199 penggiat industri pelancongan Melaka terima bantuan RM253,500

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 22 April. – Seramai 199 penggiat industri pelancongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19 di negeri ini menerima bantuan sekali bayar (one-off) keseluruhan berjumlah RM253,500 daripada kerajaan negeri Melaka hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, bantuan itu merangkumi pemberian RM1,000 kepada 120 pengusaha Agensi Kembara Pelancongan Negeri Melaka, bantuan RM2,000 kepada sembilan pengusaha inap desa (homestay) dan bantuan RM1,500 kepada 67 pengusaha chalet bumiputera negeri Melaka.

SULAIMAN (tengah) diiringi Muhammad Jailani Khamis (belakang tiga dari kiri) bergambar bersama penerima bantuan. Foto: MR. Azli

“Selain itu, bantuan sekali bayar RM5,000 turut diberikan kepada tiga persatuan iaitu Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Persatuan Hotel Malaysia Melaka (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet Negeri Melaka (MyBHA),” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan One-Off Kerajaan Negeri Melaka Kepada Penggiat Industri Pelancongan negeri Melaka di sebuah hotel di sini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Sa’ari Basiron.

Sulaiman berharap bantuan disalurkan dapat membantu penggiat industri pelancongan Melaka meneruskan kelangsungan perniagaan sepanjang tempoh yang sukar kini.

“Besar harapan saya agar penggiat industri pelancongan akan berganding bahu dengan kerajaan negeri dalam memastikan Melaka kekal menjadi destinasi pelancongan yang wajib dilawati,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman memaklumkan kerajaan negeri menerusi BPP dan dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sedang melaksanakan Program Pensijilan Patuh dan Amal prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 Negeri Melaka.

Melalui program itu, ujarnya, Melaka bakal menjadi negeri pertama di Malaysia ke arah 100 peratus patuh dan amal SOP COVID-19 di premis dan fasiliti pelancongan.

“Saya yakin usaha ini dapat meningkatkan lagi tahap keyakinan pelancong untuk mengunjungi Melaka,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

967
Kongsi :
Previous post Bekalan ayam dijamin cukup hingga lepas Aidilfitri
Next post Kes puasa: majikan, pembantu peribadi mengaku tidak bersalah
Ubah saiz-+=