2 kakitangan PKD Jasin didakwa tipu pembayaran tidak wujud hampir RM10,000

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 30 Julai – Dua pegawai kesihatan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas enam pertuduhan bersubahat dan menipu pembayaran perbekalan peralatan tidak wujud berjumlah hampir RM10,000 pada 2018.

Bagaimanapun tertuduh, Mohd. Zamry Yazid, 46, dan Muhammad Nurhafizi Samat, 33, yang dituduh secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, mengaku tidak bersalah terhadap terhadap semua pertuduhan.

Mohd Zamry yang bertugas sebagai penolong pegawai perubatan berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan Muhammad Nurhafizi menipu seorang kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin.

Ia bagi memperdayakan mangsa untuk memperakukan pembayaran bagi pembekalan peralatan tidak wujud Unit Kawalan Mutu Air (KMAM) berjumlah RM9,536 kepada Perniagaan Pella Maju Enterprise pada 5 dan 9 November 2018.

 

MUHAMMAD ZAMRY didakwa bersubahat menipu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Muhammad Nurhafizi yang juga penolong pegawai kesihatan persekitaran di PKD itu, didakwa atas tiga pertuduhan menipu mangsa yang sama dengan memperdayakannya untuk memperakukan pembayaran berkenaan sedangkan ia tidak pernah dibekalkan.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 KK.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork dan Mohd Zulfiqri Zakaria.

Sementara itu, pendakwaan mencadangkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terdekat.

Mahkamah membenarkan jaminan dan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan serta memerintahkan kedua-dua tertuduh supaya tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 September depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

913
Kongsi :
Previous post ‘Berlatih di Melaka boleh dapat emas Olimpik’ – LCW
Next post Lebih 18,500 dos vaksin diberikan di PPV Merlimau – Roslan
Ubah saiz-+=