20 kertas siasatan PRU15 diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 9 Disember – Sebanyak 20 kertas siasatan yang dibuka membabitkan pelbagai kesalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri ini diserahkan kepada Pengarah Pendakwaaan Negeri untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata daripada keseluruhan kertas siasatan yang dibuka sejak hari penamaan calon 5 November lalu hingga hari mengundi, 19 November lalu, tujuh kes membabitkan penyamaran yang disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya, lima lagi membabitkan kes khianat yang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dengan penahanan seorang individu.

“Dua daripadanya membabitkan kes yang disiasat mengikut Seksyen 24(3)(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

WhatsApp Image 2022-12-09 at 10.36.32 AM
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah

“Manakala satu masing-masing bagi kes yang disiasat mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan, Seksyen 3(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 426 Kanun Keseksaan/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 10 Akta Pillihan Raya 1954,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpinan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Padang Kawad kontinjen itu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zainol berkata semua kertas siasatan itu diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut.

“Polis Melaka berpuas hati dengan perjalanan PRU15 kerana berlangsung dalam suasana yang tenang di negeri ini.

“Ia juga hasil disiplin serta komitmen yang tinggi ditunjukkan oleh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika melaksanakan tugas,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2231
Kongsi :
Previous post 340kg sampah di pesisir pantai Perkampungan Portugis dibersihkan
Next post Melaka lancar minyak wangi pertama Majera & Maia
Ubah saiz-+=