200 ‘badang’ berentap di Jasin, Hidilyn Diaz jadi tetamu istimewa

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

JASIN 7 Mac – Jaguh angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz yang merangkul pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 lalu dijangka hadir sebagai tetamu istimewa Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior Kebangsaan di dewan Alamanda Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) pada 14 hingga 19 Mac ini.

Pengerusi bersama program, Ahmad Janius Abdullah berkata, kejohanan terbuka kepada penyertaan lelaki dan wanita mengikut kategori itu bakal disertai 200 atlet dan pegawai dari seluruh negara.

Menurutnya, urus setia kejohanan terdiri daripada Persekutuan Angkat Berat, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri selain penglibatan beberapa agensi lain antaranya Kelab Angkat Berat Nyalas serta MPJ.

“Tiada kelayakan tertentu ditetapkan kepada peserta cuma setiap acara dibahagikan kepada kategori mengikut berat badan.

“Bagi acara Remaja atau Youth ditetapkan bawah 17 tahun dengan tujuh kategori, Junior bawah 21 tahun manakala Senior 21 tahun dan ke atas. Masing-masing 10 kategori berat badan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa kejohanan itu yang dipengerusikan oleh Setiausaha MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.

AHMAD Janius

Hidilyn mencuri tumpuan peminat sukan negara kerana melakukan persiapan Olimpik di Jasin, Melaka dan muncul sebagai atlet pertama di negaranya meraih pingat emas Olimpik menerusi acara wanita 55 kilogram (kg).

Akhbar Melaka Hari Ini (MHI) merupakan media rasmi Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior yang turut dijayakan Jabatan Penerangan, RELA, PDRM dan Bahagian Promosi Pelancongan negeri, Melaka FM dan Hitz Jasin.

Selain itu Ahmad Janius yang juga Pengerusi Pembangunan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berkata, kejohanan itu dianjurkan ekoran sambutan mengalakkan dari penganjuran Angkat Berat Remaja yang diadakan di Ibu Pejabat Polis daerah Jasin tahun lalu.

“Cuma kejohanan kali ini terbuka kepada semua kategori dan agak besar diadakan di peringkat kebangsaan.

“Ini kejohanan pertama setelah hampir dua tahun kita tidak menganjurkan sebarang kejohanan ekoran penularan wabak COVID-19.

“Penganjuran kejohanan kali ini juga menarik lebih ramai penglibatan atlet angkat berat dalam melengkapkan persiapan mereka menghadapi kejohanan SUKMA tahun ini, ” katanya.

 

MESYUARAT jawatankuasa Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior pada 14 hingga 19 Mac ini.

Bagi memastikan kelancaran kejohanan, katanya, setiap atlet dan pegawai kejohanan ditetapkan menjalani ujian saringan COVID-19 selang dua hari selain pematuhan pemakaian topeng muka serta imbasan MySejahtera.

Kejohanan itu akan dijadual dirasmikan oleh perasmiannya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di dewan Alamanda MPJ pada pukul 10 pagi, 15 Mac.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

999
Kongsi :
Previous post Semakan tawaran ke MRSM mulai Rabu
Next post PRN Johor: Undi awal hari ini
Ubah saiz-+=