200 unit dron sedia dihantar ke lokasi hotspot banjir

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Sebanyak 200 unit dron sedia untuk dihantar ke lokasi hotspot banjir di seluruh negara sebagai langkah awal menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata usaha Pasukan Petugas Kecemasan Perkhidmatan Dron Khas (PTK2Dron) 2022 di bawah penyelarasan Malaysia Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) itu dapat menyokong dan membantu kerja menyelamat oleh agensi pengurusan bencana.

“Menerusi PTK2Dron 2022 ini, usaha dapat dilipat gandakan dalam membantu lebih banyak kawasan yang terjejas banjir. MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) yakin, kerjasama ini berupaya memastikan bantuan boleh dihulurkan kepada mangsa banjir secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Persediaan PTK2Dron 2022 sempena Persidangan Dron Global 2022 di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia di sini hari ini.

Dr Adham berkata sehingga kini, lebih 20 syarikat dan agensi dikenal pasti dengan sumber peralatan bagi inisiatif tersebut.

Menurutnya syarikat yang layak berdasarkan ketersediaan juruterbang dan peralatan akan dilatih serta ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan pengawasan, pemantauan dan penghantaran ke hotspot yang telah dikenal pasti.

Selain itu, katanya perbincangan awal telah diadakan bersama agensi penyelamat dan penguat kuasa antaranya Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Jabatan Ukur Peta Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Hujung tahun lepas, PTK2Dron diatur gerak ke beberapa lokasi banjir di Selangor dengan lebih 20 unit dron diaktifkan bagi kerja pemantauan dan penghantaran bekalan asas seperti ubat-ubatan, makanan dan power bank, khususnya di kawasan yang sukar dicapai.

Dr Adham berkata dengan menggunakan teknologi dron taktikal, visual dari udara diperoleh bagi membantu agensi pengurusan banjir menilai keadaan semasa kawasan yang terjejas akibat banjir.

“Berdasarkan pengalaman yang diperoleh ketika membantu operasi pengurusan banjir pada hujung tahun lepas, MOSTI dan MRANTI terus berusaha mencari kaedah terbaik pengendalian dron ketika berlaku bencana khususnya banjir,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1355
Kongsi :
Previous post PRU15: Tempoh kempen 14 hari mencukupi – PM
Next post Jari patah tidak halang bergelar johan pidato
Ubah saiz-+=