2,000 kunjungi Sungai Kesang hujung minggu lalu

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SUNGAI RAMBAI 23 Jun – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) terus memantau kedatangan pengunjung ke Sungai Kesang di sini susulan kedatangan pelancong yang luar biasa ke lokasi pelancongan itu pada hujung minggu lalu.

Ini bagi memastikan para pengunjung mengamalkan penjarakan sosial dan menjalani prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika mengunjungi sungai yang dinamakan juga sebagai Maldives of Melaka itu.

Yang Dipertua MPJ, Datin Sapiah Haron berkata pihaknya menempatkan anggota penguatkuasa di lokasi berkenaan pada cuti minggu lalu bagi memantau kehadiran orang ramai di kawasan itu selain menjaga kebersihan alam sekitar.

Katanya, anggota polis turut dikerahkan ke lokasi bagi memastikan pengunjung mengamalkan SOP disarankan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kehadiran pengunjung memang ramai sehinggakan peniaga yang menjalankan perniagaan berhampiran kawasan sungai itu tidak menang tangan.

“Anggota penguatkuasa turut berada di lokasi pelancongan itu bagi memantau kawasan supaya orang ramai tidak membuang sampah merata-rata,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Beliau berkata, kehadiran pengunjung pada hari Sabtu dan Ahad lalu disifatkan luar biasa berikutan orang ramai mengambil kesempatan untuk menghabiskan cuti hujung minggu melihat sendiri keindahan sungai berkenaan.

“Dalam tempoh dua hari, dianggarkan seramai 2,000 pengunjung mengunjungi kawasan tumpuan pelancong itu,” katanya.

Sementara itu, Rosdan Wahid, 43 berkata dia bersama ahli keluarga pulang ke kampungnya di Sungai Rambai untuk berhari raya dan teruja untuk melihat sendiri keindahan sungai yang menjadi tular itu.

“Alang-alang balik kampung, kami singgah ke sini.

“Sebelum ini air memang berwarna kebiruan tetapi tidak sejernih sekarang,” katanya.

Views:

500
Kongsi :
Previous post Sampah haram bisnes lumayan; kongsi gelap, gengster antara dalang
Next post TYT terima kunjung hormat CEO MHI
Ubah saiz-+=