2,000 pek bubur kacang diagih untuk jemaah

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

GANGSA 5 Mac. – Sebanyak 2,000 pek bubur kacang durian akan diagihkan buat jemaah Solat Jumaat di seluruh masjid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) Gangsa, Noriah Mail berkata, pihaknya bersyukur program Kongsi Rezeki diadakan di masjid itu sekali gus mampu merapatkan jurang kemasyarakatan di DUN berkenaan.

Katanya, enam masjid dan tiga surau termasuk empat pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) akan sumbangan bubur kacang yang dimasak secara gotong-royong kalangan penduduk kampung di masjid itu.

SAZALI (kanan) meninjau proses memasak bubur kacang di pekarangan Masjid Ihsanuddin.

“Setiap masjid akan menerima 250 pek bubur kacang untuk diagihkan kepada jemaah yang menghadiri solat Jumaat hari ini.

“Menerusi program dibuat secara bergotong-royong dan turut dihadiri kaum wanita kawasan ini ia mengimbau amalan tradisi masyarakat kita termasuk memartabatkan fungsi golongan wanita dalam kehidupan bermasyarakat.

“Apa pun setiap rezeki yang dimiliki itu perlulah dinikmati dan dikongsikan dengan penuh kesyukuran seperti mana manfaatnya dalam program yang dilaksanakan mingguan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Program yang diadakan bermula jam 8.30 pagi tadi di Masjid Ihsanuddin, dekat sini, turut dihadiri Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Wira Sazali Muhd Din, Penyelaras Masjid Masjid negeri, Ahyad Abdullah serta tetamu lain.

Sementara itu, Imam 1 Masjid Ihsanuddin, Abdul Latib Awaludin berkata, program julung kali diadakan di masjid itu diharapkan dapat diadakan secara berterusan bagi mengimarahkan fungsi masjid.

“Ia mampu membawa mesej baik kepada masyarakat yang mengutamakan sifat bermuafakat yang mengamalkan amalan bersedekah.

“Alhamdulillah program mingguan ini mampu meningkatkan kesyukuran dalam kehidupan bermasyarakat dengan amalan berkongsi rezeki,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

815
Kongsi :
Previous post Permohonan matrikulasi, PISMP dan PPC dibuka mulai 15 Mac ini
Next post Mufti selamat terima suntikan vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=