20,000 orang hadir Rumah Terbuka Reezal Merican

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KEPALA BATAS, 8 Mei – Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dihadiri kira-kira 20,000 rakyat berbilang kaum dalam suasana meriah di pekarangan Wisma UMNO Kepala Batas, di sini malam tadi.

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata sambutan rumah terbuka itu dilihat luar biasa kehadirannya dan orang ramai teruja menghadirinya berikutan tiada sambutan sedemikian sejak COVID-19 melanda negara.

“Setelah tiga tahun (tiada sambutan rumah terbuka), orang ramai macam nak balas balik malam ini dengan hadir beramai-ramai ke majlis ini…kami juga sediakan makanan lebih daripada biasa kerana percaya ramai yang akan hadir membawa semangat Keluarga Malaysia.

“Sebenarnya kehadiran masyarakat berbilang kaum dan pelbagai peringkat umur malam ini adalah semangat penting penduduk Kepala Batas dan rakyat Malaysia untuk raikan detik kebersamaan dapat berjumpa hanya untuk Aidilfitri.Terima kasih semua yang datang,” katanya kepada pemberita.

Majlis yang bermula pukul 8 malam itu turut dihadiri Yang Dipertua Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Mohd Noor serta pelbagai pemimpin termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Majlis rumah terbuka itu dimeriahkan lagi dengan persembahan penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan penyanyi Siti Nordiana serta beberapa artis lain.

Tinjauan Bernama juga mendapati kebanyakan tetamu yang hadir bersama keluarga ke majlis yang berlangsung hingga 11 malam itu, turut memakai pakaian sedondon bagi menceriakan majlis rumah terbuka Aidilfitri berkenaan dan mereka turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk memakai pelitup muka.

Majlis berkenaan menyajikan pelbagai juadah hari raya antaranya ketupat, rendang, sate, nasi impit, kuih-muih, apom lenggang, apom balik, char kuetiau, pasembur dan pelbagai lagi.

Seorang pengunjung Mohd Razak Abdul Kassim, 36, berkata beliau bersama isteri dan tiga anaknya teruja untuk hadir ke rumah terbuka itu kerana ia merupakan majlis yang lazim dibuat namun tiada sejak dua tahun lepas berikutan COVID-19.

“Anak-anak (dua perempuan dan seorang lelaki) terutama yang paling kecil berusia enam tahun memang gembira dapat hadir majlis ini kerana dia belum pernah merasainya sebelum ini…lagi pula ada persembahan Siti Nurhaliza, majlis menjadi lebih meriah,” kata pekerja kilang itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1254
Kongsi :
Previous post Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Perdana hari ini
Next post Polis P.Pinang jalankan siasatan terperinci dua anggota trafik iring kenderaan
Ubah saiz-+=