‘2022 tutup buku’: Imbasan Februari 2022

Masa Membaca:3 Minit, 20 Saat

2022 hampir sahaja melabuhkan tirai dan 2023 bakal membuka satu lembaran baharu bagi seluruh rakyat Malaysia.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran dan dugaan, namun setiap yang berlaku pastinya meninggalkan 1,001 kenangan kepada kita semua.

Jadi, ayuh kita lihat antara peristiwa yang berlaku sepanjang Februari 2022…

 

2 Februari 2022

Muaythai Melaka bawa pulang enam pingat emas

AYER KEROH – Atlet muaythai Melaka beraksi cemerlang apabila merangkul enam pingat emas, empat perak dan enam gangsa dalam Kejohanan Muaythai Antara Kelab-kelab Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) Kebangsaan 2022.
Kejohanan yang berlangsung 27 hingga 30 Jan di South City Plaza Seri Kembangan itu menyaksikan dua atlet cilik menjadi antara penyumbang pingat emas buat Melaka.

7 Februari 2022

Sulaiman dianugerah pangkat Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat)

BUKIT KATIL – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menerima penganugerahan pangkat Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), hari ini.
Penganugerahan itu diberikan pada majlis Istiadat Penganugerahan Pangkat Kehormat JBPM yang diadakan di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka, di sini.

9 Februari 2022

PRN Johor: Hari mengundi pada 12 Mac, penamaan calon 26 Feb – SPR

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.

11 Februari 2022

RM22.8 juta biayai 298 projek pembangunan di Melaka

BANDA HILIR – Kerajaan negeri menerima sejumlah RM22.8 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun lalu bagi pembiayaan 298 projek di Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, peruntukan yang diberikan itu bagi melaksanakan pembangunan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

16 Februari 2022

Melaka dipilih MOSTI ke Expo Dubai 2020

SERI NEGERI – Melaka merupakan antara negeri di Malaysia diberikan slot khas oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menyertai Expo Dubai 2020.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, slot itu diadakan selama seminggu bermula 13 sehingga 19 Mac depan dengan menyasarkan nilai pelaburan berjumlah RM500 juta

22 Februari 2022

Tun Mohd Ali terima anugerah utama tokoh kepimpinan penerbitan buku negara

AYER KEROH – Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam menerima anugerah utama Anugerah Buku Negara dalam Majlis Intelek Seni: Warisan Peradaban Melayu dan Anugerah Buku Negara 2022.
Beliau menerima anugerah Kategori Tokoh Kepimpinan Penerbitan Buku Negara yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah Buku Negara, Dr Hasan Hamzah dalam majlis diadakan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, di sini.

24 Februari 2022

SISPAA, ‘Respons Rakyat Melaka’ dan ONCC medium untuk rakyat kepada kerajaan

AYER KEROH – Kerajaan negeri Melaka mewujudkan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), ‘Respons Rakyat Melaka dan Melaka One Number Call Centre (ONCC) sebagai medium pengurusan aduan setiap masa.
Medium berkenaan merupakan platform daripada rakyat kepada kerajaan yang menjimatkan masa, kos dan tenaga, sekali gus membuktikan segalanya dihujung jari.

26 Februari 2022

Melaka terima RM4 juta pasang siren amaran banjir di 34 lokasi

MELAKA – Kerajaan Melaka menerima peruntukan RM4 juta daripada kerajaan pusat untuk memasang siren amaran banjir di 34 lokasi berisiko di sekitar negeri itu bermula Januari lepas.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman berkata daripada jumlah itu, 13 siren amaran banjir telah dipasang, manakala baki 21 lagi akan dipasang secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya awal tahun depan.

 

februari (uptown mega)
UPTOWN mega rancakkan suasana malam Melaka. Foto: MR AZLI

28 Februari 2022

3 ‘uptown’ mega rancakkan suasana malam Melaka

BANDA HILIR – Sebanyak tiga tapak perniagaan berkonsep ‘uptown’ bakal dibuka Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam usaha memperkasa bidang keusahawanan dan menyokong peniaga kecil, selain merancakkan pelancongan di negeri ini.
Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu memaklumkan tarikan perniagaan terbaharu itu ialah Sungai Melaka Vintage di Dataran Sungai Melaka; Bazar Kotalokal di Padang Dataran Pahlawan dan Melaka Raya Uptown and Back Street Food Centre di Jalan Melaka Raya 14.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1487
Kongsi :
Previous post Wanita mengandung tujuh bulan didakwa cuba rompak kedai emas
Next post Keenakan masakan Timur Tengah tambat hati ‘kaki makan’
Ubah saiz-+=