‘2022 tutup buku’: Imbasan Oktober 2022

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

10 Oktober 2022

Parlimen dibubarkan, beri laluan PRU-15

KUALA LUMPUR – Parlimen dibubarkan, 10 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran itu di Bangunan Perdana Putra pada 3 petang, satu pengumuman yang dinanti-nantikan banyak pihak selepas desas-desus mengenainya bertiup kencang sejak akhir September.

16 Oktober 2022

Program Selawat Mega acara rasmi Melaka

SERI BENDAHARA – Sambutan hari perbandaran membabitkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini perlu menjadikan Program Selawat Mega sebahagian dalam pengisian program umum.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengarahkan pengisian program selawat sebagai satu acara penting dalam majlis sambutan rasmi kerajaan di negeri ini.

20 Oktober 2022

PRU15: Pengundian pada 19 Nov, penamaan calon 5 Nov

PUTRAJAYA– Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian untuk pengundi Malaysia melaksanakan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mengumumkan tarikh penting itu di sini, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut mengumumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov.

22 Oktober 2022

Melaka rangkul tiga anugerah emas pelancongan

SARAWAK – Melaka merangkul tiga Anugerah Emas pada Malam Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), 22 Oktober lalu.
Pengiktirafan terbesar yang dirangkul ialah Gold Award World Tourism Heritage yang diterima Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Muhammad Jailani Khamis mewakili Kerajaan Negeri Melaka.

26 Oktober 2022

Melaka bakal sambut Hari Petugas Pembersihan

KOTA LAKSAMANA – Sambutan Hari Petugas Pembersihan bakal diadakan bermula tahun hadapan bagi memberi pengiktirafan kepada petugas pembersihan yang juga hero tidak didendang di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam mengiktiraf budaya kerja cemerlang, komitmen dan jasa yang diberikan oleh petugas sektor pembersihan.

27 Oktober 2022

Bekas Mufti Melaka meninggal dunia

MELAKA – Bekas Mufti Melaka, Datuk Mohd Yunus Mohd Yatim yang pernah berkhidmat pada era tahun 90-an di negeri ini meninggal dunia, 27 Oktober lalu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 93 tahun di kediaman anaknya di Kuala Lumpur kira-kira jam 10.30 malam.

29 Oktober 2022

SAMB sambut Jubli Emas 50 Tahun

BANDARAYA MELAKA – Lebih 2,000 kakitangan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Melaka termasuk yang sudah bersara berhimpun bagi meraikan sambutan Jubli Emas 50 Tahun di Stadium Hang Tuah, di sini, 29 Oktober lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1739
Kongsi :
Previous post 3,000 pengunjung banjiri Taman Seribu Bunga, rai tahun baharu
Next post Pesta Bunga Melaka erat hubungan kekeluargaan
Ubah saiz-+=