215 pelajar cemerlang SPM peroleh ‘straight A’

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SEKITAR KEPUTUSAN SPM 2020

AYER KEROH 10 Jun – Seramai 215 daripada 11,436 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua subjek diambil.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali berkata, daripada jumlah itu empat pelajar memperoleh keseluruhan subjek A+ manakala 211 pelajar mendapat keseluruhan subjek A.

Katanya, pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) bagi SPM 2020 adalah sama seperti 2019 iaitu 4.83.

“Dari segi peratusan calon lulus atau layak menerima sijil pula menunjukkan peningkatan 1.1 peratus bagi SPM 2020 kepada 90.2 peratus berbanding 89.1 peratus pada 2019.

“Sebanyak 17 sekolah negeri Melaka mencatat keputusan 100 peratus layak sijil di Melaka dengan pecahan 10 Sekolah Menengah Agama dan selebihnya sekolah harian biasa.

“Ini adalah keputusan yang memuaskan dalam kepayahan pelajar, guru dan warga Pejabat Pendidikan negeri dan daerah untuk membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan SPM ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

“Segala maklumat yang diberikan ini adalah maklumat awal yang diterima daripada Pengarah Pendidikan negeri, Dr. Mohd Azam Ahmad,” katanya kepada Melaka Hari Ini di Padang Mes Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka.

Terdahulu beliau menyertai tinjauan udara oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau keadaan semasa negeri menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Sulaiman berkata, biarpun berdepan saat sukar, kerjasama warga pendidik dan Pejabat Pendidikan perlu diberi penghargaan dalam memastikan pembelajaran dan pencapaian pelajar memenuhi tahap yang disasarkan.

“Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan pelajar yang menduduki SPM mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Malah mereka turut memastikan semua calon hadir ke sekolah bagi menduduki peperiksaan itu dalam waktu sukar (pandemik),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1769
Kongsi :
Previous post Sokong ‘total lockdown’ disambung – Sulaiman
Next post Neelofa sumbang 15 katil kepada pesakit COVID-19 di Hospital Melaka
Ubah saiz-+=