22.2.22 tarikh ‘ong’ berkahwin

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 22 Feb – Tarikh istimewa 22.2.22, hari ini, menjadi pilihan bagi pasangan untuk memeterai ikatan cinta sama ada mengikat tali pertunangan, mendaftar atau melangsungkan perkahwinan.

Bagi masyarakat Cina, pemilihan tarikh berunsurkan angka 2 dianggap cukup istimewa dan bertuah untuk pasangan berkahwin.

Hal itu diakui Desmond Heng Guan Sen, 32 dan pasangannya Er Jia Lin, 25, yang memilih 22 Feb sebagai tarikh mendaftar perkahwinan di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Ayer Keroh, hari ini.

Desmond berkata, angka dua cukup bertuah baginya dan keluarga memandangkan ia melambangkan satu pasangan yang akan bersama sehidup semati.

“Nombor dua itu dianggap istimewa kerana maksud nombor dua itu ialah satu pasangan. Jadi, kita percaya tarikh 22.2.22 itu boleh mengekalkan hubungan perkahwinan yang dibina.

“Pada awalnya, kita memang memilih hari Khamis atau Jumaat pada Feb untuk mendaftar perkahwinan, tapi tak sangka pula JPN buka satu hari istimewa untuk mendaftar perkahwinan pada 22.2.22.

“Jadi, pada kami, ini satu inisiatif yang baik daripada pihak JPN untuk membolehkan pasangan berkahwinan pada satu tarikh yang akan diingati dan dikenang sepanjang hayat,” katanya.

R Thinesh Kumar dan pasangan.

Bagi R Thinesh Kumar, 30 pula, keputusan untuk memeterai ikatan cinta selepas setahun menjalinkan hubungan bersama Yashini Davi, 22 tidak disangka-sangka akan menjadi kenangan indah buat mereka.

“Nombor dua memang nombor bertuah bagi saya dan pasangan kerana tarikh lahir pasangan saya ialah pada 20 hari bulan.

“Tapi tak sangka pula kami dapat mendaftar perkahwinan pada 22.2.22 dan lebih istimewa diraikan dalam satu majlis bersama pasangan-pasangan lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1043
Kongsi :
Previous post PRN Johor: Daftar Pemilih Pilihan Raya mula dijual – SPR
Next post Hak tuan rumah temasya SUKMA diputuskan secara penggiliran – MSN
Ubah saiz-+=